Rakyat gembira harga minyak turun, lantikan AG

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengumuman harga terbaru bahan api bagi petrol dan diesel merupakan sesuatu yang sangat melegakan rakyat setelah selama ini terbeban dengan kos sara hidup tinggi.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa, hasil daripada pengumuman itu, rakyat mendapat kesan langsung di mana perbelanjaan harian yang ditanggung pengguna dapat dikurangkan.

Peniaga juga dapat mengurangkan kos operasi sekali gus menstabilkan harga barangan dan sekiranya perkara tersebut berterusan, ia mungkin berupaya menurunkan harga barang secara keseluruhan bagi industri peruncitan dan pengguna.

“Ini yang melegakan rakyat dan ditunggu oleh rakyat, penjimatan secara langsung ini akan memberi manfaat kepada rakyat. Semoga kerajaan akan terus mengekalkan harga petrol dan diesel pada kadar yang terendah,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Bagi tempoh 7 Mac hingga 13 Mac, harga runcit petrol Ron95, turun sebanyak 19 sen, petrol Ron97 turun sebanyak 21 sen, dan diesel turun sebanyak 17 sen.

Dengan pengumuman penurunan itu, harga runcit bagi Ron95 ialah RM1.89 seliter, manakala bagi Ron97 ialah RM2.19 seliter, dan diesel RM1.96 seliter.

Sementara itu, menurut Mohd Zai, pelantikan Peguam Negara (AG), Tan Sri Idrus Harun menggantikan Tan Sri Tommy Thomas juga dipercayai dapat meyakinkan rakyat terhadap institusi kehakiman negara.

Katanya, pelantikan tersebut menepati ciri-ciri yang dimahukan rakyat, iaitu bersih, berintegriti, kompeten dan berwibawa.

Malah, beliau turut berharap agar perlantikan tersebut dapat memberi keadilan yang sewajarnya kepada anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim serta kes melibatkan Kumpulan Pengganas Harimau Tamil Eelam (LTTE).

Beliau turut berharap kedua-dua kes itu dapat dibuat pendakwaan segara, begitu juga dengan kes-kes lain supaya diadili berlandaskan undang-undang.

Tambah beliau, kedua-dua langkah yang diambil kerajaan gabungan baharu ini memberi tanggapan bahawa kerajaan baharu ini diyakini, selain memberikan kelegaan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Bagaimanapun ujarnya, sehingga kini, rakyat masih menunggu rangsangan dan inisiatif baru daripada Perdana Menteri dan barisan Kabinet baru yang diharapkan dapat memenuhi dan mencakupi kemajmukan rakyat Malaysia, menjadi pemimpin beramanah dan bertanggungjawab kepada rakyat dan negara. – HARAKAHDAILY 7/3/2020

- Advertisement -