Mertabatkan nilai diajar Islam sebagai sistem hidup

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Kepimpinan dan perjuangan Islam datang kepada masyarakat dengan membawa bersama sistem nilai yang menjadi pembeza kuat antara ajaran Islam berbanding kepercayaan dan ideologi lain.

- Advertisement -

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin mengemukakan kisah pemilihan Khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah di mana ia menunjukkan kepada sistem nilai Islam dalam mengemukakan kepimpinan.

Ceritanya, Abu Bakar as-Siddiq meminta Umar al-Khattab dibai’ah selaku Khalifah kerana memiliki ciri kepimpinan diperlukan iaitu lebih kuat dan tegas, tetapi sebaliknya Umar menyifatkan Abu Bakar lebih ‘afdhal’ dari dirinya.

Hal tersebut katanya, menyebabkan Abu Bakar terdiam dan tidak tahu untuk menolak pandangan Umar kerana sifat ‘afdhal’ tersebut adalah antara nilai yang pernah digariskan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.

“Kisah ini membawa ibrah bahawa para Sahabat R.A bukanlah golongan yang berlumba-lumba melantik diri mereka sendiri sebagai pemimpin, sebaliknya mencari kelebihan orang lain untuk dilantil sebagai Khalifah.

“Namun, sebaliknya dengan apa yang berlaku pada hari ini apabila manusia memahami nilai yang salah iaitu mereka lebih mengutamakan siapa lebih kuat melebihi nilai ‘afdhal’ atau lebih baik dalam memilih,” ujarnya memahamkan erti nilai itu.

Beliau juga memetik nilai telah dipanduankan oleh Rasulullah S.A.W iaitu dalam mentaati pemimpin yang dilantik meskipun dia adalah seorang hamba Habsyi kerana ketaatan itu akan memelihara kesatuan dan kekuatan.

Tuan Guru turut mengemukakan kisah Perang Uhud di mana di pihak tentera Muslimin dan Musyrikin masing-masing telah terkorban seramai 70 anggota hingga perkara tersebut dilihat sama oleh pemimpin Quraisy.

Namun, jelas beliau, Islam mengajar betapa korban tentera Islam itu dengan nilai tertinggi yakni syahid dan dibalas dengan syurga, tetapi sebaliknya atas Musyrikin yang mati sia-sia di mana neraka menjadi tempat mereka.

Kupas beliau lebih lanjut, kegagalan memahami nilai diajarkan Islam yang bersumberkan dari al-Quran dan as-Sunnah itulah menyebabkan umat Islam selama ini tidak dapat bersatu ‘bihablillah’.

Malah menurutnya, berlaku krisis nilai dalam kalangan umat dan manusia kerana mengambil nilai jahiliyah yang mementing utamakan kelebihan seperti kuat dan seumpamanya menjadi sistem dalam hidup.

Untuk itu seru beliau, umat Islam mestilah melaksanakan perintah Allah menurut al-Quran dan as-Sunnah yang umpama menanam, membaja dan menyiram di mana tuaian hasilnya akan dinikmati kemudian.

Bahkan beliau mengingatkan supaya setiap pelaksanaan yang menjadi agenda perjuangan Islam ini dibuat dengan menurut marhalah agar ia berkembang bertahapan dan mengelak ketergesaan yang merugikan.

“Inilah sistem nilai yang kita mahu perbetulkan melalui BPMS dengan menjelaskan bahawa Islam itu syumul, tidak boleh dipisahkan semua juzuk kehidupan termasuk politik, sebaliknya hendaklah diambil secara keseluruhan berasaskan sistem Islam,” terang beliau.

Beliau turut menyeru dan berharap agar nilai diajar Islam itu difahami serta dapat mengatasi pelbagai kemelut atau masalah masa kini termasuk dalam isu politik dan pencalonan Kabinet terdekat ini. – HARAKAHDAILY 7/3/2020

- Advertisement -