Politik bersih akan kembalikan patriotisme anak muda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Nilai dan semangat patriotik dalam kalangan anak muda semakin menurun hingga mengabaikan kecaknaan kepada negara adalah berpunca daripada politik yang bersih telah dikotorkan oleh manusia-manusia tidak bertanggungjawab.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, ketika bangkit usaha untuk membasmi rasuah dan salah guna kuasa, politikus menimbulkan pula isu ‘deep state’ yang memeningkan anak muda setelah mereka melakukan perubahan kerajaan.

Ditambah pula bidasnya, apabila janji-janji manifesto tidak ditunaikan kerajaan, menyebabkan anak muda semakin ‘boring’ terhadap politik, diikuti segala polisi dan pendekatan yang bersifat sensitif serta mengancam tonggak penting negara.

Pun begitu yakininya, anak muda masih boleh dipimpin kepada politik dan mereka akan bersama kerana golongan itu merupakan pewaris kepimpinan masa depan negara ini yang akan menjaya dan memacu kemajuan Malaysia nanti.

Jurutera profesional ini bertemubual dalam siaran langsung program Ruang Bicara bersama BERNAMA membicarakan tajuk ‘Aspirasi Pemuda Perikatan Nasional’ di Ibu Pejabat agensi media tersebut, di sini malam tadi.

- Advertisement -


“Di dalam kita nak membentuk anak muda yang ‘vibrant’, yang mahukan kepada perubahan politik yang boleh bersama-sama membangunkan negara, ‘definitely’ kita memerlukan bantuan daripada kerajaan. Kita tengok balik sistem polisi-polisi yang sedia ada.

“Bagaimana sistem pendidikan kita boleh menyatukan kaum sebagai satu contoh. Kewujudan sekolah vernakular, sekolah persendirian, bagaimana, ia perkara itu dah ada. Tak akan kita nak tutup? Tapi asasnya bagaimana kita boleh mencari titik persamaan. Yang ini yang polemik yang berlaku di kalangan anak-anak muda.

“Sebab itu bila kami di peringkat PAS, kita, kita arahkan kepada Pemuda-pemuda PAS ini supaya menjadi ejen perpaduan ummah yang di mana bila turun ke bawah. Sama ada kamu Muslim ataupun non-Muslim. Kalau mereka susah, kita kena tolong, nampak?

“Macam yang berlaku banjir di Pulau Pinang, rumah orang Cina, kita daripada Jabatan Amal Malaysia di bawah Pemuda PAS, kita bantu tak kira Cina ke, India, sampai timbul isu waktu itu, boleh tak masuk (rumah yang) ada anjing ini? Tak semua orang mudah (menerima) benda (perkara seperti) itu,” ceritanya.

Sehubungan itu cadangnya, dalam membentuk anak muda kembali ke landasan patriotisme, mesti dibawa dengan berpegang kepada dasar Perlembagaan Negara di mana pasti kekayaan, kebajikan dan keamanan negara dapat dikongsi bersama.

Selain itu peringatnya, perlu ada tolak ansur dan berlapang dada dalam menerima antara satu sama lain bagi rakyat Malaysia yang penuh kemajmukan ini. – HARAKAHDAILY 6/3/2020

- Advertisement -