Muafakat Nasional bernilai tinggi

- Advertisement -

PENYATUAN ummah dan akhirnya memeterai Muafakat Nasional dengan sebuah piagam yang tertulis adalah suatu usaha yang telah menelan harga yang tidak terhingga mahalnya.

- Advertisement -

Manakan tidak, ia berjaya menyatukan dua buah parti terbesar umat Islam di Malaysia yang bertelagah puluhan tahun lamanya. 

Penyatuan yang menyaksi entah berapa banyak air mata yang tumpah ke bumi apabila adik beradik, sanak saudara, sahabat handai, jiran tetangga kembali erat dan mesra setelah diregangkan oleh anutan politik yang berbeza.

Penyatuan yang kembali membawa sinar buat masa depan Islam dan umatnya di bumi bertuah ini, agar kemuliaan dan kehebatan ummah dijulang semula.

Pastinya muafakat ini menimbulkan rasa cemburu yang membuak dari kalangan musuh dan agennya. Justeru muafakat umat Islam menyekat kemaraan mereka untuk menguasai umat Islam dan tanahairnya.

Tentu sahaja mereka tidak akan tinggal diam menyaksikan Muafakat Nasional terus bertapak kukuh di tanah tumpah yang penuh berkah ini. Melainkan mereka pasti melakukan apa sahaja untuk meretakkan kembali tautan muafakat ini.

Pecah dan Perintah sememangnya menjadi senjata utama mereka. Tanpa simpati dan peduli, mereka merencana pelbagai naratif untuk mempalit lumpur kotor kepada Muafakat Nasional.

Fitnah yang halus dan helah yang licik dari musuh – musuh Islam ini mampu meretakkan kembali malah memecahbelahkan keakraban  pemimpin dan anggota Muafakat Nasional jika tidak ditangani dengan bijak dan berkesan.

Melagakan saf kepimpinan intra parti kompenan Muafakat Nasional akan menjadi keutamaan mereka. Media akan digunakan untuk mencetus salah faham, spin kenyataan, provokasi dan menjadi batu api.

Memahami realiti ini, kepada semua anggota Muafakat Nasional bermula dari pemimpinnya hinggalah kepada ahli biasa mesti berwaspada.

Jangan mudah masuk perangkap musuh atau terpedaya dengan muslihat mereka. Umno dan PAS sebagai kompenan utama Muafakat Nasional mestilah memastikan:

a) Hubungan (ukhuwah) senantiasa erat dengan sering bertemu, berbincang dan bermesyuarat.

b) Kerap menganjurkan program bersama agar mewujudkan keserasian dan persefahaman.

c) Menapis maklumat yang diterima terutama maklumat yang boleh mencetus pertelingkahan dan salah faham.

d) Jangan sekali-kali mengeluarkan kenyataan bercanggah sebaliknya selaraskan kenyataan berdasarkan keputusan bersama.

e) Ikhlaskan muafakat ini demi perjuangan suci untuk agama, negara dan rakyat.

f) Selesaikan sebarang persoalan dan perbezaan secara berhikmah dan berhemah. Tenang dan berlapang dada.

g) Tutup ruang khilaf serapat yang boleh agar musuh tidak berpeluang untuk menusuk jarum berbisa.

“Islam Memimpin Perpaduan
NASRUDIN HASSAN – HARAKAHDAILY 6/3/2020

- Advertisement -