K’jaan baharu: Isu alam sekitar terus diangkat

- Advertisement -

SEMINGGU sudah berlalu ketidaktentuan politik negara yang telah menyaksikan pelbagai polemik dan konflik yang melanda sehingga mencetuskan kegusaran di hati rakyat. Syukur alhamdulillah dengan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan setelah mendapat kepercayaan majoriti oleh Ahli Dewan Rakyat.

Di samping itu, kemelut penularan koronavirus (COVID-19) yang semakin serius terus mengancam nyawa bukan sahaja di China malah seluruh dunia yang menjadikan isu utama di peringkat global. Tidak terkecuali di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan 5 lagi kes terbaharu positif COVID-19 dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 55 kes pada 5 Mac 2020.

Dalam usaha Perdana Menteri memulihkan kos sara hidup rakyat dan membangunkan ekonomi negara selain memastikan kesejahteraan rakyat terjamin ekoran kesan penularan COVID-19 yang semakin meruncing, adalah menjadi keutamaan negara juga untuk memastikan isu-isu alam sekitar terus diangkat di peringkat global berikutan perubahan iklim dan pemanasan global yang berlaku. Krisis alam sekitar seharusnya tetap menjadi salah satu agenda utama negara ke arah Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (SDGs) yang diperkenalkan semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perubahan iklim dan pemanasan global merupakan satu isu global yang memberi impak besar kepada manusia, hidupan, keselamatan makanan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Bumi mempunyai masa sekitar 12 tahun sahaja dalam mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum sebanyak 1.5 darjah ‘Celsius’ daripada sebelum zaman kegemilangan perindustrian dan perkara ini diakui oleh para saintis.

- Advertisement -

Malahan lebih 11 ribu saintis telah mengisytiharkan darurat iklim yang membawa penderitaan tidak terhingga kepada manusia melainkan seluruh negara membuat perubahan besar dalam mengubah kehidupan manusia sendiri ke arah kelestarian. Pelbagai kesan yang dihadapi dalam perubahan iklim termasuk Malaysia seperti cuaca panas melampau dan taburan hujan panjang yang menyebabkan krisis bekalan air, pembakaran hutan dan bencana banjir malah peningkatan para air laut global juga turut berlaku.

Sejak seabad yang lalu, paras air laut global mula meningkat dan dijangka akan terus meningkat pada kadar lebih cepat sepanjang abad ke-21. Malah, purata keseluruhan ramalan paras air laut di Malaysia ialah 42 cm menjelang tahun 2100. Sehubungan dengan itu, pelaksanaan dua pendekatan iaitu adaptasi dan mitigasi bagi mengurangkan impak perubahan iklim perlu dilakukan secara bersepadu dan seimbang selari dengan Dasar Perubahan Iklim Negara yang sedia ada.

Mengikut Indeks Prestasi Alam Sekitar 2018 (EPI), Malaysia berada di kedudukan 75 daripada 180 negara pada 24 petunjuk prestasi dalam sepuluh kategori isu yang merangkumi kesihatan alam sekitar dan daya hidup ekosistem. Apa yang lebih mengecewakan, Malaysia berada pada kedudukan 136 daripada 180 buah negara dalam kategori hutan tanpa mendapat sebarang skor. Ini menunjukkan aset hutan hujan tropika yang bernilai di Malaysia semakin mengecil akibat kegiatan aktiviti manusia yang tidak terkawal. Perkara ini seharusnya dipandang serius agar khazanah hutan negara kita terus terpelihara dan dinikmati generasi akan datang.

Tidak dinafikan saban tahun, Malaysia dikejutkan dengan pelbagai isu bencana alam seperti jerebu, tanah runtuh, hakisan dan pengondolan hutan. Selain itu, pencemaran sungai yang merupakan sumber air dicemari dengan sisa toksik, sampah-sarap dan sisa industri juga mengundang risiko yang besar terhadap kesihatan penduduk setempat. Boleh dikatakan, krisis-krisis ini mendapat liputan dan perhatian pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, aktivitis pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat, orang asli mahupun penduduk setempat. Malangnya, situasi tersebut masih berterusan dan semakin kritikal.

Besar harapan saya walaupun negara kita telah bertukar Kerajaan, namun salah satu agenda utama iaitu alam sekitar terus diangkat dengan penambahbaikan dan pengukuhan dasar, polisi serta undang-undang yang sedia ada. Saya berpendapat, kegiatan haram yang menyumbang kadar pencemaran dan kemusnahan alam sekitar seperti pembuangan sisa merbahaya di sungai, pembalakan, penerokaan tanah, tapak pelupusan sampah, kilang kitar semula plastik dan pemerdagangan hidupan liar serta pembakaran hutan dibanteras secara bersepadu, mapan dan tegas.

Tambahan pula, akta yang sedia ada di negara ini seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Perhutanan Negara 1984 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 serta Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi melindungi khazanah alam sekitar perlu dikaji semula dan dipinda mengikut kesesuaian peredaran abad ke-21 selain mengenakan hukuman denda dan penjara yang lebih tegas kepada pesalah. Perkara ini adalah penting untuk diangkat di Parlimen kelak demi membendung krisis pencemaran alam daripada terus berulang dan menjamin kemaslahatan rakyat.

“Islam Memimpin Perpaduan”

TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman
06 Mac 2020 / 11 Rejab 1441H – HARAKAHDAILY 6/3/2020

- Advertisement -