Kabinet: PAS beri konsep, terserah kepada PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyerahkan sepenuhnya pelantikan Kabinet kepada Perdana Menteri dengan PAS hanya mencadangkan konsep iaitu mengambil kira masyarakat majmuk termasuk bukan-Islam untuk menganggotainya.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, walaupun bukan-Islam tidak ramai, tetapi mesti dilantik dari kalangan yang menyokong, selain golongan profesional dan juga dari Sabah serta Sarawak.

- Advertisement -

Ulangan penegasan itu dinyatakannya ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media khas selepas Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang, sebentar tadi.

“Itu PAS serah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri yang akan menilai. Sudah tentulah akan mengambil kira jumlah kerusi-kerusi parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional. Dan mengambil kira juga Sabah dan Sarawak yang tak ikut Perikatan Nasional ini.

“Termasuklah kalangan bukan-Islam, yang jumlah mereka sedikit dalam Pakatan Perikatan Islam dengan _plus_ parti-parti ini. Kita kena ambil ini. Sebab, bukan-Islam perlu diambil kira,” ujar beliau.

Menjawab cadangan banyak pihak yang menyuarakan mahu Ahli Parlimen Marang itu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, katanya beliau terbuka kepada Perdana Menteri tetapi tidak mewajibkan dirinya dipilih.

Bahkan sebaliknya beliau menyatakan sedia menjadi nelayan, kerana hanya mahu bekerja untuk negara, apatah lagi pencalonan itu datang dari rakyat biasa sedangkan pelantikan mestilah dari pencalonan oleh Perdana Menteri.

“Ada orang syok kalau orang calonkan dia. Saya tak syok orang calonkan saya. (Dan) Kita mengharapkan semuanya (yang dilantik adalah) ‘kanan’, semua ‘kanan’. Makna kanan ini kerja kuat,” ujarnya memahamkan.

Beliau juga sekali lagi menegaskan perkara utama ketika ini adalah menyelesaikan masalah rakyat melibatkan kos sara hidup, ekonomi, gejala sosial, isu perpaduan, selain masalah pembangunan insan dan manusia yang mesti diberi perhatian. – HARAKAHDAILY 6/3/2020

- Advertisement -