Tahniah pelajar SPM, syabas guru-guru

- Advertisement -

PAS mengucapkan tahniah kepada adik-adik yang menduduki dan memperolehi keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2019.

- Advertisement -

Ucapan tahniah juga ditujukan kepada semua guru budiman yang telah mendidik dan mengajar anak-anak bangsa sehingga melonjak pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) daripada 4.86 berbanding 4.89 pada 2018.

Pengumuman keputusan SPM oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Habibah Abdul Rahim pagi tadi turut menyentuh tentang pengurangan jurang pencapaian akademik di antara pelajar bandar dan luar bandar.

Dalam hal ini, menjadi cabaran kepada bakal Menteri Pendidikan serta pasukannya di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengekalkan momentum peningkatan prestasi para pelajar luar bandar supaya kelak keputusan mana-mana peringkat pensijilanpun akan kelihatan setara dan setanding di kedua-dua belah kawasan tersebut.

Begitu juga kemudahan dan prasarana pendidikan seperti persediaan peralatan makmal, alat bantu mengajar yang terkini, serta kemudahan asrama bagi pelajar pendalaman terutamanya di negeri Sabah dan Sarawak mestilah menjadi keutamaan.

Di samping itu, latihan-latihan keguruan perlulah dipertingkatkan sesuai dengan teknologi dan pedagogi semasa supaya para pelajar yang hendak dilahirkan adalah sejajar dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara.

Begitu juga pemerkasaan institusi keguruan seperti Institut Perguruan sewajarnya diperkemaskan dari semasa ke semasa.

Apapun, PAS ucapkan tahniah kepada para pelajar dan guru-guru kerana telah berjaya membuktikan kesungguhan, bak kata pepatah melayu ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.

Bagi pelajar yang kurang menyerlah pula, keputusan SPM yang mereka perolehi, bukanlah penamat segala-galanya. Ada lagi lorong untuk mencapai kejayaan.

DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKRURAZI

AJK PAS Pusat
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
HARAKAHDAILY 5/3/2020

- Advertisement -