PH tersungkur, rakyat bersyukur

- Advertisement -

YAB Tan Sri Muhyiddin (TSMY) telah menegaskan bahawa beliau bukan pengkhianat tetapi sebaliknya beliau adalah penyelamat.

Mengamati kronologi kejatuhan kerajaan PH malah latar belakang kejatuhannya, jelas membenarkan penegasan yang dibuat oleh YAB TSMY.

Justeru itulah, kejatuhan kerajaan PH ini tidak ditangisi atau diratapi oleh rakyat khasnya umat Islam yang mewakili majoriti rakyat. Sebaliknya rata-rata melahirkan rasa syukur.

Asas kesyukuran mereka ialah tamat atau berakhirnya penguasaan atau dominasi DAP keatas kerajaan Malaysia. Bahkan mereka bertekad untuk tidak lagi membenarkan negara ini diperintah oleh mana-mana pihak yang bersekongkol dengan DAP.

- Advertisement -

Selepas menyaksikan kejatuhan PH akibat keretakan dalaman yang tidak lagi boleh dirawat, maka parti-parti politik yang ada mula membuat koalisi baharu bagi membentuk kerajaan dan menyelamatkan keadaan. Justeru negara tidak boleh dibiarkan lama tanpa kerajaan.

Nyata menariknya, koalisi baharu ini sebenarnya adalah sebuah gandingan parti yang mendapat sokongan terbanyak berbanding PH dalam pilihanraya ke 14 (PRU 14) yang lalu.

a) PRU 14 yang lalu menyaksikan komponen PH hanya mendapat 5,781,600 undi.

b) Sementara gabungan jumlah undi yang diperolehi oleh BN dan PAS (kini Muafakat Nasional) ialah 6,131,985 undi.

Pemakaian sistem pilihan raya di negara kita telah memberi kemenangan kepada PH, kerana pada berlangsungnya PRU 14 yang lalu undi BN dan PAS terpisah dengan masing-masing mendapat 4,080,797 dan 2,051,188 undi.

Kini sokongan rakyat itu telah ditambah nilai dengan penyatuan Umno dan PAS yang membentuk Muafakat Nasional (MN). Hari ini MN memberi sokongan dan dukungan kepada pembentukan kerajaan baharu selepas kejatuhan PH dengan membentuk kerajaan baharu.

Realiti ini membuktikan bahawa kerajaan baharu adalah aspirasi rakyat terbanyak yang terbentuk melalui satu ketentuan Allah SWT yang tidak dijangka oleh kita ekoran kejatuhan kerajaan PH.

Apa yang penting ialah kerajaan baharu adalah kerajaan penyelamat, agar negara dan rakyat tidak menjadi mangsa ekoran kejatuhan kerajaan PH.

“Islam Memimpin Perpaduan”

Sekian.

NASRUDIN HASSAN – HARAKAHDAILY 5/3/2020

- Advertisement -