Mentajdid amalan berpolitik ke arah lebih baik

- Advertisement -

KALAU ikutkan amalan politik sebelum ini yang menjadikan formula ‘proportionate representatives’ (perwakilan mengikut nisbah kerusi Parlimen) sebagai pendekatan pembahagian jawatan Kabinet, PAS sepatutnya mendapat 8-10 jawatan Menteri dan Timbalan Menteri di dalam Kabinet PM-8.

Maka, parti yang mempunyai jumlah kerusi besar akan mendominasi kerajaan dan berpeluang membawa agenda parti mereka dalam membina Malaysia. Lantas kita lihat kesannya selama puluhan tahun apabila dominasi Eksekutif kepada satu kelompok. Kesannya juga lantikan di peringkat Judiciary (Kehakiman) yang berpusat kepada kuasa seorang Perdana Menteri yang memberi nasihat kepada Yang Dipertuan Agong condong ke arah mereka yang selari dengan agenda kerajaan.

Sepertimana saya nyatakan dalam post sebelum ini, terdapat 3 struktur utama dalam Perlembagaan Negara iaitu Eksekutif (Kerajaan yang diketuai oleh PM dan dianggotai oleh jemaah Menteri yang dilantik oleh PM), Legislative (yang dianggotai oleh Ahli Parlimen dan Senator dan dinaungi oleh 2 Dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat berperanan dalam menggubal perundangan) dan Judiciary (Badan Kehakiman yang berperanan mentafsir dan melaksana undang-undang).

- Advertisement -

Ketiga-tiga struktur ini perlu memainkan peranan dengan bebas tanpa pengaruh daripada pihak Eksekutif dan Legislative agar fungsi mereka dijalankan secara optimum dan profesional.

Okay. Kenyataan media PAS semalam melalui kenyataan Presidennya Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi (TGHH) punya impak besar kepada politik negara antaranya:

(1) Pendidikan politik kepada rakyat dan ahli politik konvensional (berkiblatkan Barat) bahawa ‘proportionate representatives’ sepertimana yang diamalkan sekian lama terbukti tidak membawa kestabilan kerajaan pun. Untuk itu, kita perlukan formula baru iaitu lantikan yang berasaskan kelayakan dengan agenda utama memakmurkan negara. Kita tidak mahu formula ketua parti wajib menganggotai Kabinet walhal dia tidak layak untuk berada di kerusi tersebut. Kita lihat contoh dalam kerajaan yang lepas apabila kita ditertawakan seantero dunia disebabkan tidak kompeten dan kredibelnya Menteri kita.

(2) Kematangan politik TGHH dan PAS yang sentiasa meletakkan agenda menyelamatkan dan mensejahterakan negara di hadapan. Apa guna lantikan berdasarkan parti jika mereka yang berada di dalam kerajaan membawa agenda berbeza, tiada persefahaman dan akhirnya memangsakan rakyat?

(3) Kefahaman TGHH dan PAS berkenaan 3 struktur teras dalam Perlembagaan (seperti di atas), peranan dan bidang kuasa mereka serta bagaimana kita nak memastikan ketiga-tiga struktur ini berjalan secara ‘independent’ (tidak bergantung dan terpengaruh antara satu sama lain) serta profesional (tanpa melangkaui kuasa-kuasa tanya telah diharapkan berlandaskan Perlembagaan).

(4) Kefahaman bahawa pelantikan Kabinet adalah ‘prerogative’ (hak eksklusif) Perdana Menteri tanpa perlu ada tekanan daripada ahli politik atau parti politik. Disebabkan ‘proportionate representatives’ Kerajaan PH dikuasai DAP dan akhirnya menjadi duri dalam daging dan pemangkin kepada jatuhnya Kerajaan PH. Berilah kebebasan sepatutnya kepada Perdana Menteri untuk memilih ‘team’ yang akan menggalas aspirasinya. Pada masa yang sama parti-parti dalam kerajaan menjadi ejen semak dan imbang (tahap pertama) kepada kerajaan serta membantu menjayakan aspirasinya di peringkat akar umbi masyarakat.

(5) PAS membawa konsep Politik Islam yang sangat asing kepada masyarakat. Terkandung di dalamnya teras utama iaitu keadilan kepada semua. Sebuah kerajaan perlu mewakili semua kaum dan agama. Tiada istilah dendam dan permusuhan untuk menidakkan hak-hak rakyat yang berbilang kaum. Biarkan persepsi dimomokkan bahawa ini adalah kerajaan ‘Malay-First’, tapi bagi Islam di sana terdapat hak-hak rakyat bukan-Islam dan bukan-Melayu yang perlu diutamakan.

Bagi saya, politik Islam yang PAS bawa mementingkan pendidikan rakyat. Biar rakyat memahami kerangka politik mengikut Perlembagaan dan disesuaikan dalam kerangka Islam yang meletakkan keadilan sebagai agenda utama. Dari situ, rakyat dan ahli politik boleh berperanan lebih efektif dalam membina negara.

Malaysia Sejahtera

HADI AMAT – HARAKAHDAILY 5/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -