Harapan ‘palsu’ Kedah tidak mampu bertahan

- Advertisement -

KETIKA demam politik ‘Covid-19’ makin kebas, baki gelora masih lagi berpusar di Kedah. Politik separa unik masih menghantui negeri Jelapang Padi.

Ia dilihat menyongsong arus. Bertentangan sama sekali dengan sifir politik yang berlaku di seluruh negara.

Sedangkan pada 24 Februari lepas BERSATU membuat keputusan keluar daripada Pakatan Harapan (PH). Kata presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. Ia diadakan 23 Februari.

Mesej itu jelas. Sebaliknya di Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir bertindak di sebaliknya. Beliau mendakwa masih mendapat sokongan PH.

Di pusat, BERSATU ‘mufarakah’ daripada PH, di Kedah masih tidur sebatal. Kalut sungguh. Pening segala rakyat jelata.

Tiada lagi teori politik yang boleh merumus tindakan Mukhriz. Seperti kata Pesurujaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya, apakah Mukhriz memberi harapan palsu?

BERSATU memiliki enam ADUN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah. Selain itu PKR ada 7 Adun, PAN (4) dan DAP (2).

ADUN BERSATU selain Mukhriz iaitu Dr Ku Ab Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah) dan Juhari Bulat (Ayer Hangat).

- Advertisement -

Dr Ku Ab Rahman bekas Umno yang berhijrah kepada BERSATU. Potensi untuk ‘u-turn’ semula terbuka luas sekarang. Begitu juga tiga lagi ADUN lain kecuali Amiruddin.

Amiruddin muncul di pentas politik popular bermula di gelanggang PAS. Sebelum itu tidak ramai mengenalinya.

Mukhriz mencetus teori yang berbeza berbanding di Melaka, Johor dan Perak. Sarjana politik pun pening mengamati teori mana yang dipinjam.

Persoalannya sekarang, apabila Mukhriz masih lagi Timbalan Presiden BERSATU. Belum kelihatan kenyataan rasmi menggambarkan beliau juga ‘mufarakah’.

Teori itu bertentangan dengan ‘Rethingkin Islamic Reform’. Kata Prof Tariq Ramadan ‘reform’ yang signifikan adalah cara fikir mengikut perubahan semasa.

Apakah Mukhriz mahu mencipta islah baharu yang bertentangan normal demokrasi.

Semalam Menteri Besar Kedah itu menafikan kerajaan Kedah berada dalam keadaan cemas.

“Tiada perubahan kerajaan negeri setakat ini. Saya menafikan bahawa kita dalam keadaan getir kerana masih ada majoriti tiga ADUN menyokong,” katanya kepada media.

Persoalannya apakah kenyataan itu dibuat atas nama Timbalan Presiden BERSATU. Kalau begitu dilihat Mukhriz ‘menoda’ keputusan mesyuarat khas BERSATU, 23 Februari lepas.

Sedangkan kenyataan Muhyiddin pada 24 Februari jelas. “Semua Ahli Dewan Rakyat daripada BERSATU dengan ini keluar Pakatan Harapan,” ujarnya. Mukhriz Ahli Parlimen Jerlun dan ADUN Jitra.

Bukan sekadar melanggar keputusan mesyuarat. Mukhriz juga dilapor mulai menyerang Muhyiddin. Ketika berucap di hadapan penyokongnya di Alor Setar, Mukhriz mempertikaikan tindakan Muhyiddin.

Tindak tanduk itu mengundangkan untuk diambil tindakan disiplin. Telahan awal mungkin mengalami nasib serupa Dato’ Seri Azmin Ali.

Disingkirkan daripada parti kerana tidak ‘baiah’ presiden. Kesimpulan mudah, apabila tindakan serupa berulang, Mukhriz hilang segala-galanya.

Empat ADUN BERSATU perlu berpaut kepada kerajaan baharu. Ramai nampak harapan ‘palsu’ Mukhriz tidak mampu bertahan lama.

Pada 2013 Mukhriz pernah dilantik Menteri Besar Kedah. Malangnya disingkir pada 2016 selepas sebulat suara kehilangan keyakinan terhadap kepimpinannya.

Nampaknya episod serupa akan berulang. Hanya masa menentukan.

M FAQIH– HARAKAHDAILY 5/3/2020

- Advertisement -