DAP insaf PAN meroyan?

- Advertisement -

PASCA kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyaksikan watak kedua parti ini begitu kontradik, tidak sebagaimana watak mereka sewaktu menjadi kerajaan selama 22 bulan. DAP yang dahulunya begitu lantang dan keras terhadap apa jua usaha yang melibatkan Melayu dan Islam.

Isu tulisan jawi contohnya. DAP menentang dan agak tegas untuk menghalang cadangan kerajaan untuk memperkenalkan tulisan jawi dengan pelbagai alasan dan kritikan.

Belum lagi sentuh usaha PAS yang membawa RUU ke Parlimen sebelum ini yang menjadikan Parlimen medan tempur panas di kalangan pimpinan DAP untuk menghalang usaha tersebut. Anda boleh saksikan di paparan ‘You Tube’ gelagat pimpinan DAP di saat Ahli Parlimen Marang membawa usul tersebut.

- Advertisement -

Mutakhir ini, watak keras dan lantang terhadap Melayu dan Islam mula berubah. Mantan Menteri di kalangan pimpinan DAP seorang demi seorang memuat naik status Facebook berkaitan keluhuran kakitangan Melayunya yang berdedikasi, baik, tepati masa dan selainnya. Sungguh aneh dan luar biasa perubahan sikap pimpinan DAP di kala ini.

Jika diperhatikan. Suara DAP pasca kejatuhan Kerajaan PH seolah-olah sepi. Tiada lagi seruan keras dari Lim Kit Siang, mahupun Lim Guan Eng dan lain-lain pimpinan utamanya. Mungkin sudah insaf atau memikirkan percaturan baru ilham dari pakar strateginya Tony Pua.

Yang benar-benar menarik tumpuan adalah watak dan kelaku di kalangan pimpinan PAN. Tidak semena-mena di kalangan pimpinan ini kelihatan ‘meroyan’ sakan. Gelagat Mantan Menteri Agama-agama dengan konsep Rahmatan Lil ‘alamin -nya yang seolah keliru identiti amat mencuit warga maya.

Kelihatan akhir-akhir ini Mujahid mendahului senarai Panglima PAN yang paling istiqamah ‘meroyan’ menghentam kerajaan Muafakat dan Pakatan Nasional. Pelbagai tohmahan, fitnah dan adu-domba sedang dilancarkan olehnya di maya.

‘NotMyPM’ merupakan kemuncak perjuangan Mujahid dalam memberi gambaran negatif kepada peralihan kuasa yang kononnya berkiblatkan ‘pintu belakang’ menurutnya.

Sewaktu memegang jawatan Menteri Agama-agama, dialah yang kononnya figura penting yang ingin menterjemahkan konsep ‘rambutannya’ dalam isu LGBT, LTTE dan lain-lain isu agama.

Kini rakyat keliru dan tertanya-tanya, adakah pimpinan PAN ini sudah menjadi sebahagian sayap DAP? Atau sudah menjadi ejen DAP dalam melakukan propaganda terhadap Kerajaan Perdana Menteri ke-8? Atau mendapat tugasan baharu untuk menjadi jurucakap bagi pihak DAP? Ianya sesuatu keajaiban dan kejayaan luar biasa bagi parti ini.

Rakyat memerhati dekat ligat kelaku pimpinan PAN yang berterusan meroyan. Benar, kata orang tua. Mereka yang jatuh dari tempat tinggi. Kadang-kadang mampu akibatkan hilang ingatan.

Buat rakan-rakan dan teman PAN. Perhatikanlah dengan jujur tingkah laku pimpinan kalian di saat ini. Buka hati, buka minda, dan serlahkan kewarasan anda dalam menilai satu persatu prinsip perjuangan pimpinan kalian.

Belum terlambat untuk sama-sama menginsafi keterlanjuran dalam membuat keputusan. Luas tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Bersama kita muafakat, demi Malaysia Sejahtera.

AKHI MAL – HARAKAHDAILY 5/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -