Contohi jiwa besar dan matang Rasulullah

- Advertisement -

“DARIPADA Jabir Abdillah R.A, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda apabila Allah memberinya kemenangan dalam selepas perang Ahzab “Sekarang kitalah yang akan memerangi mereka bukan lagi mereka yang memerangi kita, kitalah yang akan menuju kepada mereka.. “”

(Riwayat Imam Bukhari dan Imam Ahmad)

- Advertisement -

Pengajaran:

(i) Nabi S.A.W tidak lagi terikat dengan sesiapa, bahkan Nabi S.A.W menjadi King Maker untuk bertindak dan mengatur langkah sendiri.

(ii) Menurut Dr. Munir Ghadban, hadith ini bermaksud Nabi S.A.W mendidik musuh dengan tindakan dan jalan politik, bukan lagi dengan kekerasan melalui peperangan semata-mata.

(iii) Jiwa besar dan kematangan Nabi S.A.W sebagai pemerintah, bukan membalas dendam atau menghina musuh. Apa jua tindakan yang dibuat adalah demi kebaikan umat dan kestabilan negara.

(iv) Kematangan ini terbukti antaranya melalui surat yang ditulis kepada Abu Sufyan bin Harb sebelum Fathu Makkah. Abu Sufyan yang berulang kali datang untuk bertemu dengan Nabi S.A.W dilayan dengan baik oleh para Sahabat R.A, dan surat Nabi S.A.W langsung tidak menghina dan merendahkan beliau. Menurut Dr Munir Ghadban juga, surat itu menjadi pintu hidayah buat Abu Sufyan.

(v) Walaupun dalam hadith menyebutkan perkataan ‘hujum’ yang bermaksud menyerang, tetapi ia adalah kiasan terhadap strategi Nabi S.A.W yang berubah. Bukan lagi semata-mata bertahan dari serangan, bahkan Baginda S.A.W yang mengatur langkah sendiri dan memaksa musuh untuk mengikut rentak Nabi S.A.W.

(vi) Berpolitik dengan kematangan bererti mengutamakan keperluan dan permasalahan umat, rasional, tenang, matang dan berfikiran terbuka terhadap kritikan dan idea. Juga tidak mudah terkesan dengan provokasi mahupun caci maki untuk mengeruhkan keadaan.

(vii) Seringkali persoalan mengikut saluran ditimbulkan, tetapi yang terlebih utama adalah mendengar rungutan rakyat tanpa diskriminasi dan meletakkan adil sebagaimana yang dikehendaki Islam. Ucapan Umar Al-Khattab apabila ditegur oleh seorang wanita “Dia benar, aku (Umar) salah”, pastinya meletakkan keutamaan pada kebenaran tidak mengira datang dari sesiapa.

(viii) Senyap itu juga petanda kematangan, tidak ringan mulut membuat kenyataan dan komentar kecuali selepas meneliti terlebih dahulu. Benarlah apa yang diutarakan oleh Mufti Wilayah, membaca itu untuk mendapatkan gembira. Carilah maklumat dan fakta, lalu bertindaklah dengan ilmu di dada, ia pasti menggembirakan.

Rujukan:
(1) Manhaj Siyasi Dr Munir Ghadban
(2) Islamstory by Dr Raghib Sarjani

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 5/3/2020

- Advertisement -