Sokong tumpu ekonomi rakyat, perpaduan nasional

- Advertisement -

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) menyokong penuh saranan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terus memacu agenda negara dengan menumpukan usaha membantu ekonomi rakyat berpendapatan rendah dan miskin.

Ia boleh dilaksanakan dengan pengukuhan segmen ekonomi rakyat dengan mengumumkan pelbagai dasar mikro yang merangsang ekonomi domestik bagi merapatkan jurang ekonomi di antara yang kaya dan miskin.

Di samping itu juga, kerajaan boleh mengumumkan beberapa insentif segera kepada golongan petani, pesawah, nelayan, pekebun kecil, peneroka, penternak dan usahawan kecil bagi memberi rangsangan untuk merancakkan ekonomi domestik.

- Advertisement -

Sehubungan dengan itu, ia akan memberi kelegaan kepada golongan rakyat terbanyak yang selama ini agak terabai.

Penumpuan yang penting juga wajar diberikan kepada usaha memulihkan perpaduan kaum dalam kerangka perpaduan nasional yang telah melebar jurang kesenjangannya, memupuk identiti Kebangsaan cintakan negara dan membentuk sikap jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Semoga kerajaan baharu ini merupakan kerajaan yang inklusif dan menghormati semua kaum dan agama, meliputi Sabah dan Sarawak bagi membangunkan rasa bangga kepada identiti negara bangsa Malaysia yang lebih sejahtera dan harmoni serta adil.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) – HARAKAHDAILY 4/3/2020

- Advertisement -