PAS yakin berlaku perubahan di Perak

- Advertisement -

LENGGONG: Peralihan kuasa Kerajaan Negeri Perak boleh berlaku berikutan perubahan struktur di peringkat Persekutuan, apatah lagi perbezaan tipis jumlah kerusi DUN dimiliki antara kerajaan dan pembangkang di negeri ini.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, beliau yakin peralihan akan berlaku atas perkembangan yang sedang berlaku, namun percaya pihak Pakatan Harapan juga sedaya upaya mempertahankan kedudukan.

Beliau mengulas demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Serantak Cawangan-cawangan PAS Kawasan Lenggong di Markas PAS Cawangan Lubuk Kawah, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Perak sepatutnya sudah tumbang apabila BERSATU isytihar keluar daripada PH memandangkan dia ADUN termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu sendiri juga daripada BERSATU.

Atas kerana itu terangnya, Pengerusi Umno Perak, Dato’ Saarani Mohamad telah mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah kerana memikirkan keraguan yang wujud dan juga kepentingan kestabilan pemerintahan kerajaan negeri.

Beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol bagaimanapun berharap sebarang perkembangan akan tetap menjadikan negeri berada dalam keadaan stabil dan tidak mahu berlaku keadaan kacau-bilau atau tidak harmoni.

“Kita nak dengan rela hati masuk untuk bentuk kerajaan kerana hendak bela seluruh rakyat dan tidak mahu lagi Islam dan Bumiputera terancam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/3/2020

- Advertisement -