PAS sebuah parti yang tenang

- Advertisement -

PAS MELALUI sejarah nombor dua panjangnya selepas Umno. Sejak PAS ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1951, PAS tidak pernah dapat memenangi Kerajaan Pusat. 14 kali siri pilihan raya PAS kalah di peringkat Pusat. PAS hanya dapat menguasai Kerajaan Kelantan sebanyak 2 kali dan Kerajaan Terengganu sebanyak 3 kali. Saya mengikuti agak banyak kali pilihan raya. Saya lihat kekalahan tidak pernah menyebabkan PAS lemah. Bahkan petugas-petugas PAS tetap bersemangat menumpahkan tenaga dan daya jihad setiap kali pilihan raya diumumkan. Kadang-kadang secara congak mereka sudah pun tahu mereka akan kalah, namun semangat meneruskan perjuangan tidak pernah luntur apatah lagi padam.

Dua perkara yang saya lihat, yang sangat menunjangi semangat perjuangan ahli-ahli PAS yang sekali gus memberi kekuatan dan kekentalan kepada PAS. Iaitu dasar perjuangan PAS (Islam) dan sifat walak serta taat ahli kepada parti dan pimpinan.

- Advertisement -

Dengan dasar yang berteraskan akidah dan syariah menjadikan setiap ahli PAS terasa dipanggil untuk bersama dengan PAS. Mereka tidak pernah kisah kalah atau menang. Yang penting mereka sentiasa dapat bersama Islam. Setiap titis peluh yang mereka tumpahkan adalah kerana Islam. Kemenangan hanya hadiah dan bonus dari Allah. Kalaupun tidak menang mereka tetap yakin dan pasrah janji Allah di akhirat adalah benar.

Manakala dengan sifat walak dan taat mereka kepada pimpinan menjadikan mereka sentiasa teguh dan bulat. Walaupun hati masing-masing punya kehendak yang berbeza dan hati masing-masing punya keinginan yang berlainan. Mereka diajar. Berbeza pendapat tidak mengapa, tetapi apabila pimpinan telah membuat keputusan, maka semua mereka sami’na wa atho’na.

Justeru itu sebelum berlaku peralihan kuasa baru-baru ini, PAS telah mengambil pendekatan politik yang agak ketara perbezaan dengan langkah politik sebelumnya. Antaranya PAS memutuskan hubungan dengan DAP dan PKR. Kemudian PAS mengambil pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Selepas PRU14 PAS mengambil langkah membentuk sebuah muafakat dengan Umno, musuh politik tradisi PAS sekian lama. Kemudian bersama Umno PAS membentuk kesepakatan menyokong Tun sebagai PM sehingga PRU15. Kemudiannya apabila Tun meletak jawatan PAS dan Umno sepakat pula menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) sebagai PM ke-8. Semuanya diikuti oleh ahli penuh taat dan walak. Walaupun sesetengah ahli tidak tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku.

Bila berlaku peralihan kuasa dan buat pertama kalinya PAS adalah sebahagian dari Kerajaan Pusat. Tentunya ini sangat menggembirakan ahli-ahli PAS, namun tiada sorak-sorai di jalan-jalan. Tiada peserta joget tanda gembira. Bahkan diganti dengan majlis-majlis solat hajat dan syukur kepada Allah. Itulah indahnya PAS. Tiada ejekan kepada PH kerana Rasul memberikan ingatan agar musuh yang telah kalah jangan diinjak. Bahkan Islam mengajar hulurkan tangan untuk mereka bangun dan berikan bimbingan kepada kebaikan. Kerana Islam adalah agama kebenaran dan perdamaian.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 4/3/2020

- Advertisement -