Ketengah polisi Islam Kelantan ke Putrajaya

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penglibatan PAS bersama Perikatan Nasional membolehkan pembaharuan berteras Islam yang dimulakan di Kelantan boleh diketengah ke peringkat Persekutuan.

Pembaharuan itu dirintis arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1990 termasuk memindahkan wang kerajaan negeri ke Bank Islam.

Bekas Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), Ustaz Mohd Fadzli Ghani berkata, pencapaian polisi Islam di Kelantan boleh dinasionalisasikan.

- Advertisement -

Katanya, apa yang penting perlu menampilkan pemimpin yang bebas rasuah dan ada integriti.

“Hendak cari pemimpin politik yang tidak terbabit rasuah ada di Kelantan. Kalau hendak Putrajaya bersih rasuah sudah ada model di Kelantan.

“Semua model itu ada di Kelantan cuma orang luar tidak tahu,” katanya pada Diskusi Sejarah Perjuangan Islam di Malaysia di Putik hari ini.

Turut bertindak sebagai panelis Pengarah IPTG, Dato’ Dr Johari Mat, manakala Yang Dipertua PAS Ketereh, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh sebagai moderator.

Program itu dianjur Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan (PKS) dengan kerjasama Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) sempena sambutan tiga dekad dasar Membangun Bersama Islam.

Hadir sama Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kob, anggota Exco Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman, Pengarah PKS Dr Wan Nik Wan Yussof dan Pengarah UPKN Zulkifli Mamat.

Peserta seminar tersebut terdiri daripada ahli-ahli Assabiqun dari seluruh kawasan.

Mohd Fadzli yang juga Ketua Jabatan Arkib PAS Pusat berkata polisi kerajaan negeri yang berteras Islam dilaksanakan di Kelantan hampir 30 tahun lalu.– HARAKAHDAILY 4/3/2020

- Advertisement -