Pengalaman Tun Mahathir ada jasanya

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat menyeru dan mengajak semua rakyat bertenang serta memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Malaysia kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin negara bagi memulihkan kerosakan yang telah berlaku di zaman kerajaan PH sebelum ini. Dokongan dan sokongan semua pihak amat diharapkan bagi memastikan kerajaan baru yang bakal dibentuk adalah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin dalam melaksanakan tanggungjawab yang digalas.

- Advertisement -

Di samping itu, Dewan Ulamak PAS Pusat secara terbuka memberikan pujian terhadap Tun Mahathir atas penglibatan beliau dalam pentadbiran negara selama lebih 22 tahun selaku Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan ketujuh sebelum ini. Sepanjang tempoh tersebut pastinya ada jasa beliau dalam membina negara yang tidak dapat dinafikan kebaikannya walaupun di sana terdapat beberapa perbezaan dari sudut ideologi politik beliau dengan PAS sama ada ketika beliau di dalam Umno mahupun BERSATU.

Dari sudut kebaikan yang ada dan persamaan dengan perjuangan PAS, kita dapat lihat dari sudut beliau merupakan pemimpin yang menitik beratkan soal kepentingan melayu dan Islam. Ini dapat dilihat apabila pendirian Tun Mahathir yang turut tidak bersetuju dengan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta beliau tidak melarang himpunan mega bantahan ICERD pada 8 Disember 2018 yang lalu serta keseriusan beliau dalam mempertahankan bangsa Melayu dengan mengadakan Kongres Maruah Melayu di Shah Alam sebelum ini.

Jasa Tun Mahathir turut diiktiraf oleh negara Arab dan negara umat Islam yang lain apabila Tun Mahathir secara terkehadapan lantang dalam isu kemanusiaan seperti krisis Bosnia Herzegovina dengan terdahulu dan ketegasan dalam tidak mengiktiraf Yahudi atas pencabulan mereka terhadap bumi Palestin. Malahan Tun Mahathir secara rasmi pernah dijemput oleh kerajaan Mesir semasa pemerintahan Dr Muhammad Morsi bagi memberikan ucapan untuk berkongsi idea mengenai pelan peningkatan ekonomi.

Sekalipun beliau ada silapnya namun kebaikan yang ada tidak boleh kita sembunyikan dan menafikannya. Malah kita dapat lihat beliau cuba berusaha memperbaiki beberapa kesilapannya terdahulu seperti pemberian royalti dan wang ihsan kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu yang diperintah oleh PAS. Sekalipun tidak sempurna namun ia boleh dilihat dari sudut kebaikan yang wajar diberikan pujian.

Dewan Ulamak PAS Pusat juga secara tegas menasihati Tun Mahathir sebagai mantan Perdana Menteri Malaysia yang dihormati di dalam dan luar negara untuk mengambil sikap tidak wajar berkompromi dengan DAP sama sekali yang jelas membawa ideologi ektremis yang bertentangan dengan apa yang telah diperjuangkan oleh beliau selama ini. Inilah ketegasan PAS dan mengharapkan Tun Mahathir dapat berfikir dengan matang dan terbuka hati untuk memahaminya ini.

Dewan Ulamak PAS Pusat juga dengan berbesar hati mempelawa Tun Mahathir untuk turut sama memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri kelapan Malasyia, Tan Sri Hj Muhyiddin Yassin yang merupakan anak didik beliau juga sewaktu berada di dalam Umno dan juga BERSATU. Kelebihan yang ada pada Tun Mahathir seperti pengalaman, pemikiran yang cergas serta ilmu pentadbiran diharapkan mampu  dimanfaatkan bersama bagi membina semula Malaysia ke arah negara yang sejahtera dan menyelesaikan kemelut negara yang sedia ada ini.

Firman Allah S.W.T :

وَلَا تَسۡتَوِی ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّیِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِی بَیۡنَكَ وَبَیۡنَهُۥ عَدَ ٰ⁠وَةࣱ كَأَنَّهُۥ وَلِیٌّ حَمِیمࣱ

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
(Fussilat: 34)

Sekian.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 3/3/2020

- Advertisement -