Kerajaan dua undi

- Advertisement -

“MUHYIDDIN akan tumbang. Sokongan yang dia ada sangat tipis”.

Tuan-tuan. Kekuatan sebuah kerajaan tidak terletak kepada nombor. Tetapi pada prinsip dan akidah perjuangan mereka.

Tahun 2004, PAS menang 24 kerusi DUN Kelantan. Setahun selepasnya, seorang ADUN mereka meninggal dunia dan berlakulah PRK Pengkalan Pasir. PAS tewas menyebabkan kedudukan DUN berada pada angka 23-22.

Tetapi kerajaan itu kekal bertahan sehingga ke PRU 2008. Kerajaan ini digelar ‘Kerajaan Dua Undi’ kerana salah satu DUN yang dimenangi mereka ketika itu (DUN Kemuning) hanya mendapat majoriti 2 undi.

- Advertisement -

Berbeza dengan Kerajaan PH. Ketika kemuncak kekuasaan mereka tahun lepas, gabungan ini memiliki 138 kerusi – kurang 10 kerusi untuk majoriti 2/3 dan mempunyai kedudukan yang lebih selesa berbanding Kerajaan BN 2013.

Tetapi ia tumbang. Tumbang bukan kerana tiada nombor. Ia tumbang dan kehilangan sokongan berterusan rakyat kerana tiada prinsip dan perjuangan jelas.

Kerajaan hari ini tiada masalah untuk bertahan. Kemunculannya pada saat ini sudahpun menggembirakan majoriti Bumiputera yang menjadi induk sokongan rakyat.

Ia hanya memerlukan prinsip dan hala tuju jelas untuk bertahan. Ia memerlukan Menteri yang fokus kepada kerja dan bukannya broker yang berminat menjual tanah rakyat.

Ia memerlukan Menteri yang berani berpegang kepada keadilan dan bukannya ahli politik yang kelam menjaga ideologi songsang.

Ia memerlukan barisan Kabinet yang sentiasa merasa bertanggungjawab kepada Tuhan dan takut kepada-Nya.

Al-Fatihah kepada Tuan Guru kami, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang selepas ketiadaannya, masih mengajar kami mengenai seni politik yang mulia.

ABDUL RAHIM HILMI ZAKARIYA
Bukit Tunggal Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 3/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -