HIMMAH yang memugar semangat

- Advertisement -

MENTARI terik menyengat peserta-peserta 30k HIMMAH, berselang dengan laungan takbir dan slogan-slogan yang membakar semangat anak muda yang datang daripada seluruh pelosok negara. Sangat luar biasa anak-anak muda celupan tarbiah PAS ini berhimpun dengan segalanya datang daripada kocek mereka sendiri.

Saat Virus Corona yang menakutkan orang ramai untuk berhimpun, saat pembantaian kepada Muslim di mana-mana peta luka umat Islam juga ketika pemimpin PH sedang berpolemik mengenai jawatan penting negara, maka himpunan ini penting dan sangat berjaya. Berbondong-bondong anak muda-mudik daripada tanah Selatan, Pantai Timur, Pantai Barat serta daripada Borneo.

Himpunan 30k kali ini mengingatkan saya himpunan 30k anak muda pada tahun 2011 sewaktu PAS memerintah negeri Kedah. Almarhum Ustaz Azizan Razak yang sangat gembira dengan kehadiran anak muda bermurah hati menanak nasi dan bergulai lapan ekor lembu. Acara itu juga menyaksikan anak seni, Bob Lokman mengisytiharkan dirinya sebagai ahli PAS. Puluhan ribu yang hadir dengan menyaksikan gelombang anak muda menyokong PAS, masjid, surau menjadi tempat penginapan para peserta serta rumah penginapan di sekitar Alor Setar mendapat tetamu.

- Advertisement -

Himpunan Anak Muda Istiqamah kali ini juga menyaksikan entiti-entiti di bawah Dewan Pemuda PAS turut memeriahkan sambutan, Jabatan Amal mempamerkan skill menyelamat mangsa daripada bangunan tinggi, ARC dengan ribuan motor berkonvoi daripada seluruh negara, guru-guru PASTI, SRITI, SMITI tidak ketinggalan memeriahkan himpunan. Diakui masyarakat dan negara bahawa entiti PAS turut berjasa membangunkan negara, bukan berorientasikan untung namun demi ummah.

PAS dalam sejarahnya sangat terhutang budi kepada anak-anak muda yang bergabung dalam Dewan Pemuda PAS. Dewan Pemuda ditubuhkan pada tahun 1953, dengan Ketua Pemudanya yang pertama ialah Ustaz Ahmad Badawi. Pimpinan Pemuda PAS yang dipimpin oleh Ustaz Hasan Adli juga mengusahakan supaya PAS dipimpin oleh tokoh tersohor perjuangan membela ummah iaitu Dr Burhanuddin al Helmi.

Maestro perjuangan itu telah memimpin PAS mulai tahun 1956. Lonjakan sokongan kepada PAS bermula di zaman Dr Burhanuddin dengan Timbalannya Prof Zulkifli Mohamad sehinggalah PAS berjaya memenuhi dua buah Kerajaan Negeri dalam PRU 1959. Pimpinan Dewan Pemuda PAS paling ke depan menerima pembantaian dan hamparan ibtila’ termasuk Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Abdul Samad Gul Mianji mati dibunuh.

Dalam dekad 1980-an pula pimpinan Pemuda PAS paling ramai menjadi mangsa mendekam dalam tahanan ISA. Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob, Yusuf Husin, Ustaz Sidek Noor, Ustaz Stimat Jusoh, Ustaz Abdul Halim Arshad dan ratusan yang lain. Anak muda PAS juga yang telah merencahkan perjalanan politik PAS seperti permuafakatan politik dengan Team B Umno sehingga memunculkan Angkatan Perpaduan Ummah, menggerakkan bantahan-bantahan awam sehingga memunculkan kesedaran politik kepada massa.

Pemuda PAS dalam Muktamarnya di Madrasah Masriyyah Bukit Mertajam pada tahun 1982 telah mengusulkan usul kepimpinan ulamak dan usul itu telah merubah wajah besar dalam skala besar di tengah gelombang kebangkitan Islam dalam dekad 80-an. Anak muda adalah pencetus perubahan dan nadi kekuatan PAS, sebagaimana wejangan Ustaz Nasruddin Tantawi;

“Carilah dan hidupkanlah watak-watak anak muda Islam di zaman ar-Rasul ke dalam jiwa anak-anak muda PAS pada hari ini”.

Oleh: DR RIDUAN MOHAMAD NOR

(Penulis ialah mantan Ketua Penerangan DPPP, Mantan Ketua DPP Wilayah Persekutuan) – HARAKAHDAILY 3/3/2020

- Advertisement -