DAP sentiasa cari kesempatan pecahkan Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: DAP telah bertindak seperti penjajah zaman dahulu dengan melaksanakan amalan pecah dan perintah terhadap rakyat negara ini khususnya kepada orang Melayu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, kesan tersebut dapat dilihat pada PRU14 lalu apabila tidak kurang 30 kerusi telah terlepas mudah kepada PH.

Jelas beliau, tindakan memecahkan kesatuan orang Melayu itu termasuk ke atas parti politik didominasi Melayu bertujuan untuk mencapai matlamat kepentingan diri mereka yang bersifat Cauvinisme.

“PKR pecah dua, tiga; keadaan berlaku hari ini. Sekejap sokong Azmin Ali, sekejap sokong Abang Non (Anwar). Hari ini, BERSATU pula pecah, ada yang bersama dengan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin, ada yang bersama dengan bekas Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir.

“PAS alhamdulillah dah tak berpecah. Tahun 2015 kita pecah. Ada yang ikut PH, ada yang kekal dengan PAS. Umno pun pecah dulu sehingga tertubuhnya BERSATU. Yang tak pecah, DAP. DAP tak pecah.

“Dia bergaduh-bergaduh, hentak-hentak meja, tapi bila sampai kepada bertentangan dengan kita, dia boleh bersatu sampai sekarang. 42 kerusi DAP, kerusi Parlimen, ada yang lari? Tak ada,” ujarnya dalam Ceramah Muafakat Nasional di Markas PAS Cawangan Pekan Sanglang, Pontian kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Bahkan menurutnya, ada pimpinan DAP, iaitu Teressa Kok telah membuat Sarjana Falsafah mengkaji kepuakan dalam Umno, manakala Liew Chin Tong pula mengenai aliran di dalam PAS.

Di mana terang Dr Zuhdi beliau percaya kajian akademik itu bertujuan mencari cara untuk memecahkan Umno yang mempunyai beberapa puak dan juga PAS atas kewujudan aliran berbeza dalam parti.

Sedangkan menurut beliau, orang Melayu telah berjaya disatukan dalam tahun 1970-an iaitu ketika di era Almarhum Tun Abdul Razak Hussein setelah perpecahan panjang sejak zaman penjajahan sebelumnya.

Cerita beliau, ekoran tragedi 13 Mei 1969, Tun Razak telah mengambil langkah tidak mudah apabila menjemput Yang Dipertua PAS, Dato’ Asri Muda membentuk Kerajaan Campuran Perikatan-PAS.

Kemudian setelah itu katanya, sama-sama menubuhkan Barisan Nasional di mana hasil kesatuan ketika itu juga telah lahir Dasar Ekonomi Baru yang sangat membantu dan memberi manfaat.

“Sehinggalah kesempatan kita bergaduh, berbeza pandangan, berpecah belah diambil peluang dengan begitu hebat sekali oleh lawan kita, iaitu DAP,” ujarnya mengajak kaum Melayu khususnya untuk beringat agar tidak berpecah lagi. – HARAKAHDAILY 3/3/2020

- Advertisement -