Tahniah sempena penubuhan kerajaan baharu

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, segala puji bagi Allah S.W.T, Rabb yang menguasai sekalian alam, selawat dan salam atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W, juga ke atas kaum keluarganya, para Sahabatnya serta mereka yang beriman dan beramal soleh di sepanjang zaman.

Pertamanya saya menjunjung kasih ke atas Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (DDYMM) Seri Paduka Baginda yang di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Al Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah di atas kebijaksanaannya di dalam menyelesaikan kemelut politik yang sedang melanda negara beberapa hari yang lalu.

Tahniah juga di atas penubuhan kerajaan baru di bawah kepimpinan Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8, juga ke atas semua kepimpinan parti-parti di dalam Pakatan Nasional yang sabar dalam menghadapi kemelut ini dan telah berani membuat keputusan demi cita-cita untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang aman makmur serta berbakti kepada rakyat terutama kepada Presiden PAS yang kami sayangi iaitu Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Firman Allah:

قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِی ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَاۤءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَاۤءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاۤءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاۤءُۖ بِیَدِكَ ٱلۡخَیۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ قَدِیرࣱ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(Ali Imran: 26)

Sesungguhnya ini adalah amanah Allah S.W.T, setiap pemimpin akan disoal di hari Akhirat nanti terhadap apa yang dipimpinnya sama ada terhadap harta negaranya mahu pun terhadap rakyatnya, memerintahlah di dalam keadaan takut kepada Allah S.W.T, jadikan Islam sebagai panduan di dalam menentukan sistem pemerintahan negara.

Menukar sesuatu itu haruslah kepada yang lebih baik, PAS Pahang mengharapkan agar kepimpinan baru ini dapat mempersembahkan sesuatu yang lebih baik dari yang terdahulu, inilah harapan rakyat yang telah memberikan sokongan, pastikan keadilan dan saksama diberikan kepada keseluruhan rakyat dan di segenap pelosok negara tanpa mengira parti apa yang memerintah di sesebuah negeri, jangan semai benih kebencian dengan politik kesumat yang mengundang kemurkaan Allah S.W.T dan kebencian rakyat.

Islam mestilah dimartabatkan, letakkan ia di tempat yang selayaknya, jadikan ia sebagai pedoman kerana Islam itu adalah wahyu Ilahi, jadikan Rasulullah S.A.W sebagai contoh kepimpinan kerana ia adalah utusan Allah S.W.T, yakinlah hanya dengan itu sahajalah seorang pemimpin itu akan dapat berlaku adil dan ihsan kepada keseluruhan rakyatnya tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

Sekian terima kasih

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang – HARAKAHDAILY 2/3/2020

- Advertisement -