Solat hajat gagal usul tidak percaya PH

- Advertisement -

BACHOK: Dewan Ulama PAS Kelantan yakin impian Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat tidak kesampaian.

Ketuanya Ustaz Dato’ Hassan Mohamood berkata, rakyat mahu kerajaan baharu keluar daripada kemelut seperti yang berlaku di era Pakatan Harapan (PH).

Katanya situasi itu juga diimpikan ahli-ahli parlimen selepas mereka berdepan dengan suasana konflik sepanjang pentadbiran PH.

- Advertisement -

Menurut beliau sekarang masa untuk membetulkan semula pentadbiran negara ketika berdepan dengan wabak penyakit dan kesuraman ekonomi.

“Saya minta rakyat solat hajat dan munajat kepada Allah Taala supaya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yasin bagi menerajui negara.

“Sekarang seramai 114 ahli menyokong kepimpinannya. Dan kita percaya jumlah sokongan akan bertambah lagi,” katanya pada ceramah di perkarangan Pusat Tarbiah PAS Bachok di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Umno Bachok, Mohd Zain Yasim.

Selain itu Timbalan Yang Dipertua PAS Bachok, Abdul Azziz Kadir dan Naib YDP Bachok, Mohd Huzaimy Che Husin.

Sebelum ini Anwar dilapor yang akan membawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat.– HARAKAHDAILY 02/3/2020

- Advertisement -