Sejarah tamadun, persaingan ideologi dan tarikh luputnya

- Advertisement -

SEJARAH awal

(1) Apabila kita membaca dan meneliti sejarah Falsafah Greece, Falsafah Barat, Falsafah Islam dan sebagainya, kita akan dapati mereka begitu bersungguh-sungguh untuk memanfaatkan akal.

(2) Apabila munculnya gerakan penterjemahan karya-karya Falsafah Greece yang dipromosikan oleh Khalifah Ma’mun (Abbasiah), menyebabkan ada dari kalangan umat Islam yang terkesan.

Menyebabkan suburnya kelompok kelompok seperti Muktazilah dan sewaktu dengannya. Lalu muncul tokoh-tokoh Islam untuk memerangi kekarutan Muktazilah tersebut.

Lahirlah disiplin-disiplin ilmu sepertimana yang dibawa oleh Imam Abu Hassan al Asy’ari, Imam Ghazali, Ibnu Khaldun dan macam-macam lagi

(2) Sejarah kemunculan Falsafah Barat pula apabila Barat menyaksikan ketamadunan Baghdad yang mengutamakan ilmu dan akal wajar ditiru, lalu mereka import ketamadunan tersebut masuk ke Barat.

Menyebabkan berlakunya pertembungan yang dahsyat di Barat sehingga mendorong kepada kebangkitan Reinassance antara kurun ke 15-17.

- Advertisement -

(3) Pada era itu, munculnya Kristian Protestan yang membantah ‘kejumudan’ Katolik. Manakala Katolik pula meng’kafir’kan Protestan kerana menganggap sebagai satu kesesatan.

Hal ini telah saya tuliskan dalam banyak artikel-artikel saya sebelum ini [1] [2] [3]. Semua ini menggambarkan bagaimana manusia itu berusaha untuk memanfaatkan akal.

Era kejatuhan Islam

(1) Selepas mencedok ketamadunan Islam, Barat muncul dengan Revolusi Industri dengan mula mencipta ‘mesin’ pada era 18 [4]. Hal ini menyebabkan negara-negara Islam merasa perlunya bersaing.

Beberapa negara Islam dilihat menghantar anak-anak mudanya untuk pergi ke Barat mendalami ketamadunan mereka. Menyebabkan anak-anak muda itu terkesan dengan ideologi dan pembaratan.

(2) Mereka menyangka semua yang diperkenalkan oleh Barat itu adalah kemodenan. Lalu mereka pulang ke tanah air mereka membawa ideologi Barat.

Apabila ideologi-ideologi Barat meresap masuk dalam kerajaan Islam, pendek ceritanya menyebabkan jatuhnya Khilafah Uthmaniah bertarikh 3 Mac 1924. [5]

(3) Anak muda Islam yang terpengaruh dengan ideologi Barat ketika itu menganggap kejatuhan Uthmaniah itu adalah satu kebebasan dan menuju ke arah kemodenan.

Hakikatnya ia adalah titik hitam Umat Islam apabila hilangnya paksi kuasa. Menjadikan Umat Islam di seluruh dunia hidup terpecah-pecah dan menyebabkan penjajahan (divide and rule).

(4) Sehingga ke hari ini, hampir mencecah 100 tahun umat Islam kehilangan paksi kuasanya. Kita yakin bahawa Islam akan kembali memerintah, dan paksi kuasa Islam itu akan muncul sikit masa lagi.

Maka Umat Islam perlu belajar daripada sejarah, dan bertindak untuk memenangi ‘Perang Ideologi’ yang sangat rencam dan berselirat pada hari ini.

Roda itu berputar

Demikianlah suasana era imperialism yang pernah digambarkan oleh Nabi S.A.W;

“ألا إن رحى الإسلام دائرة, فدوروا مع الكتاب حيث دار، ألا إن الكتاب والسلطان سيفترقان، فلا تفارقوا الكتاب، ألا إنه سيكون عليكم أمراء يقضون لأنفسهم ما لا يقضون لكم، إن عصيتموهم قتلوكم، وإن أطعتموهم أضلوكم”

قالوا: يا رسول الله, كيف نصنع؟ 

قال: “كما صنع أصحاب عيسى ابن مريم، نشروا بالمناشير، وحملوا على الخشب، موت في طاعة الله خير من حياة في معصية الله”

“Sesungguhnya roda putaran Islam itu terus berputar, maka hendaklah kamu berpegang dengan kitab Allah ke manapun ia berputar. Ketahuilah, sesungguhnya al-Quran akan berpisah dengan kekuasaan, maka janganlah kamu memisahkan diri dari al-Quran”

“Ketahuilah, sesungguhnya akan datang kepada kamu para penguasa yang memutuskan sesuatu perkara untuk kepentingan diri mereka sendiri dan tidak memutuskannya untuk kepentingan kamu. Jika kamu tidak mentaati mereka, nescaya mereka akan membunuh kamu. Namun jika kamu mentaati mereka, nescaya mereka akan menyesatkan kamu.”

“Para Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang perlu kami lakukan?”

“Baginda S.A.W menjawab, “Lakukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh para pengikut setia Nabi Isa bin Maryam. Mereka digergaji dengan gergaji besi dan disalib di atas sebatang kayu, dan mereka mati dalam ketaatan kepada Allah lebih baik daripada hidup dalam kemaksiatan kepada Allah.”

(Hadis Riwayat at Thabrani)

Walau bagaimana keadaan sekalipun situasinya, Baginda S.A.W menyuruh umat Islam agar menjaga prinsip. Jangan tercair dengan elemen yang melemahkan Islam.

Perang ideologi

(1) Perang ideologi sangat jelas kelihatan dalam Perang Dingin (1947-1991). Pertembungan antara Soviet dan Amerika, bersaing sebagai kuasa besar dunia.

Negara-negara umat Islam ketika itu masih terbeku di bawah pengaruh penjajahan. Antaranya Iran yang diperintah oleh Shah Iran yang dilihat menjadi ejen Barat.

Pada 1979 Shah Iran digulingkan, di luar jangkaan Barat. Lantas Amerika cepat-cepat bertindak mewujudkan Perang Saudara, iaitu Perang Iran-Iraq 1980-1988. [6]

(2) Pada 1983 Amerika mewujudkan satu draf bagi memegang paksi kuasa dunia dengan memasarkan demokrasi secara besar-besaran dengan kos yang sangat tinggi.

Pertubuhan-pertubuhan seperti NED, CIPE, IRI, USAID dan sebagainya terus beroperasi memasarkan demokrasi ini, dengan berintikan Liberal Kapitalis. [7]

Ideologi ini dipasarkan bagi memenangi Soviet yang berintikan Sosialis Komunis, dan mengekang kebangkitan Islam. Demokrasi dipasarkan secara meluas di negara-negara Umat Islam.

(3) Amerika cuba melaga-lagakan Soviet dengan Afghanistan dan berakhir dengan kekalahan Soviet pada 1989. Hal ini mendorong kepada kejatuhan Soviet di pentas dunia pada 1991.

Kemenangan Afghanistan mengalahkan Soviet secara tak langsung memberi keuntungan kepada Amerika yang sudah agak penat bersaing dengan kuasa itu. [8]

Fitnah Ad Duhaima’

(1) Hadis tadi menggambarkan bahawa adakalanya Islam itu berada di atas, dan ada kalanya Islam itu ditindas. Maka, walau bagaimana keadaan sekalipun, kita perlu berpegang dengan Islam.

Jangan menyangka apabila Islam itu memerintah, bermaksud segala-galanya sudah selesai. Hakikatnya musuh masih mencatur, dan bimbang umat Islam terleka diulit kemenangan.

(2) Nabi S.A.W menggambarkan beberapa jenis fitnah akhir zaman yang perlu diawasi oleh orang-orang beriman. Antaranya fitnah ad Duhaima’;

.. ثُمَّ فِتْنَةُ الدُّهَيْمَاءِ لَا تَدَعُ أَحَدًا مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ إِلَّا لَطَمَتْهُ لَطْمَةً فَإِذَا قِيلَ انْقَضَتْ تَمَادَتْ يُصْبِحُ الرَّجُلُ فِيهَا مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا ……


“…. Kemudian Fitnah Duhaima’ yang tidak ada seorangpun dapat terlepas darinya. Jika dikatakan: “Ia telah selesai”, maka sebenarnya ia makin berlanjutan sehingga seseorang pada pagi hari beriman, tetapi pada petang hari men­jadi kafir. ….”

(3) Dalam artikel saya sebelum ini [9] menggambarkan bahawa semenangnya musuh itu masih ‘bekerja’ dan sentiasa mencari ruang untuk menjayakan pelan mereka.

Roda masih berputar. Setiap agenda dan perancangan pasti ada tarikh luputnya. Tetapi sistem Islam itu kekal relevan hingga ke akhir zaman sepertimana yang dijamin oleh Allah S.W.T.

Ada Umat Islam yang hanya muncul tatkala Islam sedang menghampiri kemenangan. Ada pula yang muncul di saat telah menang dan menikmati kesenangan dengan cuci kaki.

Tarikh luput

(1) Allah S.W.T berfirman;

وَتِلۡكَ ٱلۡأَیَّامُ نُدَاوِلُهَا بَیۡنَ ٱلنَّاسِ

“… Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) ….”

(Ali-Imran: 140)

(2) Belajarlah dari sejarah kejatuhan Byzantium yang bersaing dengan Islam sejak zaman Nabi S.A.W hingga Uthmaniah dan kejatuhan Parsi pada zaman Saidina Abu Bakar.

Kejatuhan zaman kuasa Kristian Katolik di era Reinassance, kejatuhan Abbasiah 1256/58, kejatuhan Uthmaniah 1924, kejatuhan Soviet pada 1991 dan sebagai tanda bahawa sudah tiba tarikh luputnya.

(3) Di Barat menggambarkan Crowdocracy merupakan idea baru dalam demokrasi, kerana demokrasi yang sedia ada dianggap sudah luput tarikhnya.

Kemunculan Neo Liberalism menggambarkan Liberal yang telah luput tarikhnya. Begitu juga neo Secularism, dan banyak lagi. Sosialism tumbang ketika tumbangnya Soviet.

(4) Pax Britannica berakhir pada 1915 selepas 100 tahun beraksi. Manakala Amerika yang boleh dikatakan bapa Kapitalism juga bakal tiba tarikh luputnya.

Allah S.W.T berfirman;

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”

(al A’raf: 34)

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3102099739831765&id=100000953077134

[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3111899058851833&id=100000953077134

[3] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3264274613614276&id=100000953077134

[4] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3075416009166805&id=100000953077134

[5] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2984875511554189&id=100000953077134

[6] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3372965182745218&id=100000953077134

[7] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3108929682482104&id=100000953077134

[8] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3392245647483838&id=100000953077134

[9] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3512127558828979&id=100000953077134

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 2/3/2020

- Advertisement -