‘Pak Long’ (Shafie Ahmad) kembali kerahmatullah

- Advertisement -

JABATAN Seni, Budaya dan Sukan (DACS), Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai serta para peminat di atas pemergian ‘Pak Long’ atau nama sebenar Almarhum, Shafie Ahmad, 54.

Almarhum merupakan seorang penyanyi tanah air dan kemudiannya mencipta nama sebagai komposer lagu-lagu popular sekitar era 90-an khususnya lagu hit menerusi penerbitan album berjudul ‘Selagi Ada Rindu’ edaran FMC Music.

Lagu ‘Selagi Ada Rindu’ telah mencipta fenomena tersendiri ketika itu dengan menduduki tangga pertama carta radio selama berminggu-minggu antaranya di radio Mutiara FM, Kedah FM, Langkawi FM, Perlis FM, Perak FM, Sabah FM dan THR Gegar Pantai Timur.

- Advertisement -

Malah jika diamati kepada lirik lagu ‘Selagi Ada Rindu’ berkisar mengenai kehidupan di dunia ini yang penuh warna-warninya dan seharusnya setiap ruang waktu yang ada dimanfaatkan sebaiknya.

Antara kemuncak kerjayanya juga apabila karya lagunya, ‘Al-Jannah’ nyanyian Mawi pada 2004 dinobatkan sebagai penerima Anugerah Lagu Nasyid Popular di Anugerah Era 2008.

Almarhum mengakhiri umurnya di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, petang semalam dipercayai akibat paru-paru berair dan difahamkan dipindahkan daripada Hospital Sik Kedah bermula 8 Februari lalu.

Menurut anaknya, Nur Muhammad Idhoffy, 18 berkata ayahnya kembali kerahmatullah di sisi isteri dan semua tujuh anaknya selepas tiga hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Difahamkan juga, Almarhum tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit kronik sebelum ini kecuali menghidap kencing manis yang terkawal telah dimasukkan ke Hospital Sik Kedah akibat demam panas awal Januari tahun ini.

Berdasarkan rekod catatan, Almarhum seorang yang kuat bekerja dan gigih berusaha walaupun berhadapan pelbagai cabaran hidup dan didoakan agar segala usaha baiknya dinilai dan diterima Allah S.W.T.

Oleh yang demikian, DACS Malaysia mengajak seluruh anak seni yang menjadi idola atau ikutan masyarakat untuk bersama-sama kita membina masa depan anak bangsa yang baik melalui sumbangan ke arah pembentukan bi’ah solehah.

InsyaAllah setiap daripada usaha kita di lapangan masing-masing pastinya ada nilai di sisi Allah S.W.T serta saling menghargai di antara satu sama lain dan bertemu kembali di syurga Allah S.W.T di akhirat kelak.

Sekian, terima kasih.

HAFEZ SABRI
Ketua Pengarah DACS
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/3/2020

- Advertisement -