Anak muda PAS lakar sejarah menerusi HIMMAH

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Himpunan Anak Muda Istiqamah (HIMMAH) menjadi satu sejarah kerana ia diadakan tatkala negara dalam keadaan tiada kerajaan memerintah, demikian kata Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

Bahkan Kerajaan Negeri Kedah yang ada pula ujarnya, adalah ‘Kerajaan Pelampung’ kerana Pakatan Harapan sudahpun pecah bahteranya di peringkat Pusat, sedang Perdana Menteri interim juga kuasanya sudah disanggah.

“Dia pun cuba untuk memanggil Sidang Dewan Rakyat. Tetapi Speaker Dewan Rakyat pun tolak panggilannya. Membuktikan bahawa tidak ada siapa yang berkuasa. Yang paling berkuasa sekarang ialah rakyat. Betul tak? Inilah hakikat.

“Semuanya berlaku kerana Allah S.W.T ingin menunjukkan kepada manusia, kepada kita semua, bahawa ada saat dan ketika. Siapa yang dikehendaki Dia, Dia boleh cabut kekuasaan dari siapa yang Dia kehendaki.

“Siapa boleh sangka, banyak disebut kerajaan PH adalah kerajaan sepenggal, rupanya tak dan sampai separuh penggal pun,” ujarnya pada himpunan yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Beliau turut menyifatkan himpunan tersebut sebagai bersejarah kerana berlaku dalam bulan Rejab iaitu bulan perjalanan Rasulullah S.A.W menemui Allah S.W.T yang menjadi iktibar dan pengajaran bahawa itulah juga perjalanan setiap insan.

Iaitu jelasnya, perjalanan untuk menemui Tuhannya di mana sepanjang perjalanan itu penuh dengan tribulasi, cabaran dan dugaan, namun insya-Allah sebagaimana Nabi S.A.W akhirnya berjaya, demikian juga perjuangan ini.

Terdahulu Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid menyatakan bahawa HIMMAH adalah untuk mencungkil semangat singa dalam diri setiap amilin PAS dalam menegakkan cita-cita Al-Himmatul ‘Aliyyah. – HARAKAHDAILY 2/3/2020

- Advertisement -