Adil dan seimbang realisasikan ‘Malaysia Sejahtera’

- Advertisement -

KEADILAN dan keseimbangan untuk seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa, budaya dan agama, termasuk ke atas semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian Federalisme telah menjadi intipati penting dikemukakan Presiden PAS. Ia iltizam, hasrat dan gagasan paling asas yang mesti didukung bersama secara komited oleh semua pihak demi perpaduan, pembangunan dan kemajuan masa depan Malaysia yang sejahtera, aman harmoni dan makmur.

- Advertisement -

Kami selaku generasi muda yang sedia mewarisi sebuah impian masa depan “Malaysia Sejahtera” menyokong penuh tapak diletakkan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk dipersadakan kerajaan baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia kelapan. Agenda pemulihan ekonomi terutama merapatkan jurang kaya miskin dan meningkatkan tahap pendidikan mesti diutamakan, selain keseimbangan pembangunan seluruh negara.

Ketika sama kami menyeru kepada mana-mana pihak yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan telah dibuat Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pemuda PAS selaku sayap parti komponen kerajaan hari ini bersedia untuk mendengar dan menjadi mediator kepada suara anak muda Malaysia di luar sana.

Kami juga pada hari ini ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menginsafi Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang telah digagaskan oleh PAS dan menjadikannya sebagai budaya baru politik rakyat Malaysia. Mari anak muda Malaysia, demi keharmonian dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia, kita bersama memacu negara agar lebih kuat dan dihormati serta menjadi contoh dalam segenap perkara.

Hentikan permusuhan dan pemangsaan, sebaliknya mari kita besar dan putik mekarkan kasih sayang dan kecintaan kepada bangsa, agama, rakyat dan negara Malaysia ini. Suburkan semula erti kemerdekaan yang telah kita kecapi 62 tahun lampau bahawasanya kita bebas mendirikan negara menurut acuan kita sendiri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerana di situlah ikatan, kebersamaan dan hakikat jati diri kita yang sebenar dengan penuh bermaruah dan bertamadun.

Menjunjung setinggi-tinggi kasih buat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sekalian Mufti dan ulamak, para Pegawai Tertinggi Kerajaan, pasukan pertahanan dan keselamatan, penjawat awam dan petugas media. Juga semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung hingga peralihan kuasa telah berlaku secara aman dan mengikut lunas undang-undang negara. Moga keadilan dan keseimbangan ini akan merealisasikan “Malaysia Sejahtera”.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/3/2020

- Advertisement -