Tun M ‘sekolahkan’ Pakatan Harapan?

- Advertisement -

AKIBAT sangkaan bahawa Tun Mahathir dan BERSATU tiada taring di dalam Kerajaan PH, satu gerakan seperti yang didakwa Azmin semenjak berbulan-bulan yang lalu untuk mendesak Tun M menyerahkan kuasa PMnya kepada Anwar telah dilancarkan.

- Advertisement -

Sebagai Menteri Ekonomi ketika itu, Azmin agak tidak senang dengan gerakan ini kerana umum tahu, peralihan kuasa PM selalunya akan menyebabkan impak negatif yang besar terhadap Ekonomi Negara dan tempoh pemulihan terhadap impak negatif ini memerlukan tempoh minima 2 tahun untuk pasaran kembali stabil seperti sediakala.

Kos sara hidup rakyat yang tinggi, kurangnya peluang pekerjaan kepada anak-anak muda, cabaran perang ekonomi di antara Amerika Syarikat dan China pada saya adalah faktor utama Azmin dan rakan-rakannya mengambil pendirian untuk terus menyokong Perdana Menteri yang sedia ada agar mereka dapat terus mengemudi serta menangani semua cabaran ini demi kebaikan rakyat di negara ini.

Sayang seribu kali sayang, barisan pemimpin kerajaan lama dari kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak dapat melihat keutamaan ketika itu seperti apa yang Azmin lihat. Malah desakan demi desakan terus dilancarkan pihak tertentu agar peralihan kuasa di antara Tun Mahathir-Anwar dapat dilaksanakan dengan segera. Malah polemik penjualan atau pemindahan aset Tabung Haji serta hubungan Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara kerana menarik balik dakwaan terhadap penyokong LTTE menambah rencah yang tidak sihat ke dalam konflik sedia ada.

Apa yang saya lihat dari konflik ini adalah kegagalan barisan pemimpin PH untuk mengakui pentingnya sokongan Tun Mahathir dan BERSATU terhadap survival mereka sebagai anggota barisan Kabinet, sebagai sebuah kerajaan dan pemerintah. Mereka tidak boleh melihat bahawa desakan demi desakan terhadap peralihan kuasa di antara Tun Mahathir-Anwar boleh mengundang risiko besar yang akhirnya boleh mendorong Tun Mahathir untuk meletakkan jawatannya. Malah barisan pemimpin PH juga gagal melihat implikasi peletakan jawatan itu terhadap mereka secara keseluruhannya. Dan kerana kegagalan inilah, rakyat dan negara diheret bersama untuk menanggung akibatnya dari polemik ini.

Pada saya, polemik peralihan kuasa di antara Tun Mahathir-Anwar dari awal lagi adalah pencetus utama kepada polemik yang sedia ada. Saya yakin majoriti rakyat mengakuinya. Malah rakyat dipertontonkan bagaimana sokongan dari pemimpin PHa terhadap Tun Mahathir juga boleh berubah-ubah dalam tempoh yang agak singkat dan bagaimana sokongan majoriti Ahli Parlimen terhadap kerajaan lama PH pada hakikatnya tidaklah sekukuh mana.

Sebab itu Tun Mahathir meletakkan jawatannya, kerana beliau yakin sokongan terhadapnya tidaklah seikhlas mana dan tidaklah sekuat mana dan akhirnya, peletakan jawatan beliau telah mengubah landskap politik PH dengan sekelip mata. Kerajaan yang kononnya dipuja-puja selama hampir 1 tahun dan 9 bulan kebelakangan ini akhirnya tumbang menyembah bumi hanya kerana mahukan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Bukankah nasihat demi nasihat yang dilontarkan khususnya oleh PAS selama ini agar Tun Mahathir dapat terus memimpin negara sehingga ke PRU15 mampu menyelamatkan barisan pemimpin PH untuk terus kekal di tampuk kuasa?

Jangan salahkan Umno dan PAS kerana yang letak jawatan adalah Perdana Menteri dari kerajaan lama PH, yang dipecat dari PKR pula adalah dari kalangan anggota tertinggi PH dan BERSATU yang mengumumkan keluarnya mereka dari PH adalah salah satu parti komponen PH sendiri. Bukankah semua yang berlaku adalah dari PH semata-mata? Kenapa tiba-tiba pula salahkan Umno dan PAS?

Pada hemat bacaan saya, tindakan Tun Mahathir untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah satu langkah politik yang cukup halus dan bijak. Beliau mengajar pemimpin PH khususnya dari bekas barisan kabinetnya bahawa:

1.    Kerakusan mengejar kuasa demi DS Anwar tidak membawa sebarang kebaikan kepada mereka, parti, kerajaan dan negara.
2.    Sokongan kukuh yang tidak berbelah bagi dan ikhlas terhadap Perdana Menteri adalah elemen yang sangat penting.
3.    Walaupun BERSATU adalah parti yang sedikit jumlah kerusinya dalam PH, hubungan politik yang tidak dijaga dengan baik di antara parti komponen bakal mengundang implikasi yang tidak baik kepada mereka.
4.    Pembentukan kerajaan lama PH tidak kukuh sebenarnya. Oleh kerana itu, segala konflik dalaman perlu dijauhkan dan diuruskan dengan baik.

Walaubagaimanapun, langkah politik Tun Mahathir untuk meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi BERSATU sebaik sahaja beliau meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri ke-7 menjadi satu tanda tanya kepada saya sehingga ke hari ini. Adakah kerana beliau tidak bersetuju dengan keputusan awal bekas partinya itu untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Umno dan PAS atau satu cubaan untuk menghilangkan rasa curiga daripada barisan pemimpin PH bahawa sekali lagi beliaulah ‘Pengarah Utama’ atau ‘Konspirator’ untuk menghalang DS Anwar sebagai Perdana Menteri yang ke-8.

Majlis mengangkat sumpah Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang ke-8 sebentar tadi pada hemat saya mungkin tidak melabuhkan tirai krisis politik ini sepenuhnya. Sama-sama kita saksikan sama ada satu proses undi tidak percaya akan dibentangkan di persidangan Dewan Negara tidak lama lagi terhadap PM yang baru. Mudah-mudahan langkah ini tidak berlaku jika pemimpin PH betul-betul menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, sayangkan rakyat dan negara. Yang pasti, Tan Sri Muhyiddin kini berfungsi sebagai Perdana Menteri, satu ‘political advantage’ atau kelebihan politik buat dirinya untuk mengatur langkah seterusnya dalam memastikan polemik ini tidak berpanjangan demi rakyat dan negara.

Tidak pernah sekali saya memuji Tun Mahathir, tetapi melihat kepada langkah politik yang beliau ambil, walaupun sudah menjangkau 94 tahun, langkah politik beliau sangat menggerunkan kawan dan lawan. Terima Kasih Tun kerana membuka jalan ini demi Malaysia yang lebih baik.

HUZIR SULAIMAN
Penganalisis Politik
01 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 1/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -