PM ke-8: MB Kelantan sokong Muhyiddin

- Advertisement -

TUMPAT: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob melahirkan rasa syukur kerana kemelut politik negara berakhir selepas seminggu.

Katanya, langkah cermat oleh pihak istana dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku selama seminggu.

- Advertisement -

Beliau berharap pentadbiran kerajaan baru di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin akan lebih merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan demi kepentingan rakyat.

“Alhamdulillah kita bersyukur semoga pembentukan kerajaan baru ini akan merapatkan hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis konsert amal bersama Kumpulan Hijaz di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab Bustanus Saadah, Morak, di sini malam ini.

Beliau turut meluahkan harapan pentadbiran negara selepas ini menjadi lebih baik dengan mengutamakan kebajikan rakyat.

“Selepas ini Insya-Allah pentadbiran negara akan bertambah baik,” katanya.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa syukur kerana kemelut politik yang berlaku beberapa hari lalu berakhir dengan perlantikan PM baru.

Katanya, pengalaman Muhyiddin dalam bidang politik selama ini sangat meyakinkan apabila beliau berupaya mentadbir negara.

“Pengalaman (beliau) pernah jadi Menteri Besar, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet, orang biasa dan sekarang berada dalam satu parti baru.

“Saya rasa daripada pengalaman dan apa yang berlaku di sekeliling hari ini, kita yakin dia berupaya untuk merancang strategi bagi memulihkan pentadbiran negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 01/3/2020

- Advertisement -