Politik ‘kacau bilau’ angkara PH

- Advertisement -

SEMASA saya menulis artikel ini belum ada lagi petunjuk kepada penyelesaian jelas terhadap kemelut politik tanah air yang dimulakan oleh Tun M.

- Advertisement -

Tindakan PAS yang ingin membawa usul ‘undi percaya’ ke Palimen bagi mengukuhkan kedudukan Tun Mahathir Mohamad (Tun M) sehingga akhir penggal menjadi bahan cemuhan terutama di kalangan MP dan penyokong-penyokong PH.

Tekanan demi tekanan dibuat ke atas Tun M dari DAP, PAN dan PKR supaya melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar merupakan manifestasi dari gejolak politik tanah air yang berlaku di bulan Februari.

Tamak untuk mengukuhkan kedudukan dan keinginan yang meluap-luap untuk menjadi pemimpin nombor satu negara menyebabkan Bursa Malaysia kerugian hampir RM40 billion dalam sekelip mata. Kesannya tidak dirasakan oleh golongan elit Politik tetapi rakyat bawahan.

Menawarkan Kerajaan Perpaduan ( Unity Government ), Tun M cuba mengambil kesempatan ini untuk mengukuhkan kedudukan sebagai orang nombor satu dan berkuasa penuh ke atas kabinet. Tetapi malangnya ianya tidak disambut oleh BN, PAS dan DAP.

Anwar dengan sokongan dari DAP, PKR (sebahagian ) dan PAN telah menamakan dirinya sebagai calon PM ke 8. Jika benar seperti apa yang berlegar di Media Sosial, PH membuat U Turn dengan mencadangkan Tun M kembali menerajui Kerajaan Malaysia.

PAN sangat konsisten mempertahankan DAP. Ini sangat jelas dari tindak tanduk mereka sewaktu dalam kerajaan dahulu hingga berlakunya kemelut politik tanah air.

Setiap kenyataan elit politik membayangkan merekalah jaguh pembela nasib rakyat dan bukannya untuk kepentingan peribadi dan kroni. Seolah olah setiap keputusan yang mereka buat walau pun terpaksa melakukan beberapa kali U-Turn semuanya untuk rakyat.

Apakah benar untuk rakyat atau semata-mata menjaga periuk nasi dan kepentingan jawatan?

Saya melihat setiap keputusan yang mereka ambil lebih kepada menyelamatkan politik mereka dan menjaga kepentingan jawatan dan kedudukan lalu terpaksa berputar-putar dalam membuat kata putus. ”Kalau tidak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah”

Apakah emilih Anwar atau Tun M benar-benar akan dapat menyelesaikan permasalahan politik negara? Kita dapati kedua-dua mereka sangat bergantung kepada sokongan DAP dan beberapa MP non muslim untuk naik menerajui kepimpinan negara. Mengapa Tun M tidak yakin dengan sokongan UMNO dan PAS?

Jika difikirkan memang ada benarnya juga ada sesetengah pendapat yang mengatakan DAP adalah liabiliti kepada PH. 22 bulan Malaysia di bawah teraju PH, rakyat dapat melihat dan menyaksikan bagaimana ketegangan kaum semakin bertambah memuncak, kos sara hidup yang semakin bertambah, bantuan kepada petani dan nelayan dihapuskan, Perlembagaan Negara cuba dirobekkan, Agama Islam yang menjadi agama resmi persekutuan dihina, ringgit jatuh, asset negara dijual serta hutang negara bertambah.

Sekiranya Tun M sendiri selama 22 bulan terpaksa bersilat untuk mengendalikan DAP apakah Anwar boleh dan mampu? Isu ICERD, Rom Statue, UEC, Zakir Naik, Tulisan Jawi, Dong Ziong, hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan kaum bumiputra lainnya seperti yang termaktub didalam Kontrak Sosial dan lain-lainya.

Inilah yang menjadi kebimbangan rakyat Malaysia bukan sahaja di kalangan Islam Melayu tetapi juga oleh kaum bumiputera lainya.

Umum tahu bahawa kemenangan PH dalam PRU14 dahulu adalah disebabkan fithnah yang mereka mainkan melalui media social yang mereka kuasai dan janji bulan dan bintang yang akhirnya mencari alasan untuk tidak menunaikanya.

“Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya”. Kesan dari pembohongan ini dapat kita lihat apabila kalahnya PH di lima PRK; Cameron Highland, Semenyih, Tanjung Piyai, Rantau dan yang terbaru di Kimanis.

Cukuplah sejak merdeka sehingga tumbangnya kerajaan PH, negeri ini diperintah dan ditadbir dengan sistem “sekular kapitalis” yang ternyata tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat yang berbilang kaum dan agama, walaupun negara bertambah maju tetapi kemakmuran tidak dapat dirasakan oleh masyarakat bawahan yang menjadi majoriti kepada kumpulan teras pengundi.

“Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”.

Rakyat harus berani melakukan perubahan, harus keluar dari kepompong elit Politik Sekular, Kronisme, Kapitalis dan Nepotisma.

Menjadikan Islam sebagai dasar dan asas berpolitik adalah pilihan terbaik, kerana disana ada faktur pengawal yang di panggil dosa dan pahala. Disana ada asas kepada Rahmatan lil alamin dan Barakah.

Firman Allah SWT:

Ertinya: Sekiranya penduduk negeri itu, beriman dan bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka ( pintu pengurniaan ) yang melimpah-limpah barakahnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan ( Rasul Kami ) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. ( AL Araf : 96 )

Poltik Malaysia mestilah berteraskan kepada Islam Melayu yang menjadi majoriti kepada komposisi kaum di negara ini. Menyatukan umat Islam Melayu dan kemudian merangkul kaum lain untuk bersama membina semula negara di atas tunjang Aqidah Islam.

Memartabatkan Islam serta menghormati amalan agama lain adalah suatu yang tidak boleh diganggu gugat.

Kelantan dan Terengganu harus dijadikan teladan dalam mencipta keharmonian hidup antara kaum dan agama. Rekod bersih rasuah juga harus dijadikan ikutan tentang bertapa pentingnya integriti, keikhlasan melebihi kepentingan kroni dan jawatan.

Saya yakin rakyat Malaysia kini lebih matang dan boleh membezakan yang mana intan dan yang mana kaca. Boleh membezakan yang mana politik jawatan, politik kroni dan yang mana politik rakyat.

“Islam Memimpin Perpaduan”
H. Bakri Jamaluddin
Ketua Penerangan PAS Melaka.
HARAKAHDAILY 29/2/2020

- Advertisement -