NGO Melayu Islam tidak setuju bubar Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembubaran Parlimen bukan langkah terbaik untuk menangani kemelut politik tanah air ketika ini, kata Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dato’ Dr Hasan Mad.

- Advertisement -

Beliau mewakili NGO-NGO bersepakat dengan pendapat pembubaran Parlimen mengundang banyak risiko selain memakan belanja yang tinggi untuk pilihan raya apatah lagi di kala keadaaan ekonomi tidak begitu baik ketika ini.

Jelasnya, gabungan-gabungan NGO yang hadir dalam penyembahan memorandum menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran turut berpandangan bahawa belum masanya untuk membubarkan Parlimen ketika ini dan percaya kemelut politik yang sedang melanda negara ini dapat diselesaikan dengan perbincangan baik.

“Insya-Allah, kami yakin mereka ini mampu untuk menyelesaikan perbezaan diantara mereka dan mencari formula terbaik untuk memilih Perdana Menteri.

“Dengan itu tidak perlu dibubarkan Parlimen dan diadakan semula pilihan raya kerana kita masih belum sampai ke tahap di mana ancaman darurat perlu diisytiharkan, maka Parlimen perlu dibubarkan, belum sampai ke situ lagi.

“Tidak ada pun demonstrasi di jalan dan sebagainya, belum ada lagi perbalahan secara terbuka. Maknanya rakyat masih lagi tenteram, masih lagi tahu bagaimana kemelut politik ini boleh diselesaikan,” ujarnya mewakili NGO-NGO lain.

Bagaimanapun, ditanya mengenai kandungan memorandum yang dihantar bersama Pengerusi Gerakan Pertahankan Kedaulatan Perlembagaan, Tun Mohamed Hanif Omar, katanya, mereka tidak bercadang untuk berkongsi isi memorandum kepada umum kecuali Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang mendedahkan sendiri.

Turut sama ketika penyerahan atau penyembahan memeorandum adalah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Memorandum tersebut diserahkan kepada wakil Setiausaha Sulit Kanan YDPA, Kol Dato’ Nazim Mohd Alim di Istana Negara kira-kira jam 9.30 pagi tadi.- HARAKAHDAILY 28/2/2020

- Advertisement -