Langkah BERSATU Johor satu kekuatan baru

- Advertisement -

PERUBAHAN kerajaan di Negeri Johor memberi harapan dan kekuatan baru untuk perubahan yang lebih besar di negeri-negeri dan malah di peringkat Pusat.

Ia berpunca dari kesediaan PPBM (BERSATU) yang telah pun isytihar keluar dari Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dengan Muafakat Nasional di Johor bagi membentuk kerajaan baru BERSATU, BN dan PAS atas perkenan Tuanku Sultan Johor.

Tindakan bersejarah yang berani ini mengakibatkan PKR, DAP dan PAN tersingkir dari kerajaan sekali gus menamatkan dominasi DAP dalam Kerajaan Negeri Johor.

- Advertisement -

Harus diperhatikan salah seorang ADUN Johor dari BERSATU adalah Presidennya sendiri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Kebijaksanaan Muhyiddin mencatur dan merestui perubahan di Negeri Johor dengan menjalin kerjasama dengan Muafakat Nasional ini bertentangan dengan serangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir terhadap Umno semalam. Ini menandakan sikap Tun itu tidak dapat diterima oleh kalangan pimpinan BERSATU yang lain.

Dalam keadaan suasana ekonomi dan politik yang tidak menentu ini rakyat khususnya umat Melayu Islam mengharapkan sangat kuasa politik Melayu Islam dapat disatukan dan fokus dapat diberikan terhadap pembelaan nasib dan masa depan bangsa, agama dan negara.

Dominasi DAP perlu segera dipatahkan, kerana ternyata ia merupakan punca besar ketidakstabilan dan ketidaktentuan yang semua kita rasai hari ini.

Semoga apa yang berlaku di Johor akan merangsang wakil-wakil BERSATU di negeri-negeri lain untuk turut bergerak menjalin hubungan dengan Muafakat Nasional, agar kestabilan dapat kembali ke negeri-negeri lain dan masa depan seluruh rakyat Malaysia menjadi lebih terbela dan terjamin.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 28/2/2020

- Advertisement -