Kesatuan orang beriman yang didambakan

- Advertisement -

ORANG beriman tabiatnya adalah saling menguatkan antara satu sama lain. Firman Allah Taala:

- Advertisement -

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(At-Tawbah: 71)

Tabiat orang beriman itu sememangnya bersatu padu, saling menguatkan antara satu sama lain untuk kebaikan dan menolak kejahatan.

Terdapat 4 elemen penting yang membentuk kesatuan umat Islam iaitu;

(i) Menyuruh yang baik (ma’ruf).
(ii) Melarang segala kemungkaran (kejahatan).
(iii) Mengutamakan kewajipan solat (fardhu) iaitu merujuk kepada perpaduan spiritual.
(iv) Mengeluarkan zakat (menunaikan hak harta) iaitu merujuk kepada perpaduan dalam soal material.

Keempat-empat elemen ini menjadi rahmat Allah buat golongan beriman yang menjadi syarat untuk mendapat kejayaan dan diberikan kedudukan yang ampuh di bumi supaya merealisasikannya dalam memimpin umat.

Akan tetapi apabila terdapatnya perpecahan dalam kalangan orang beriman, maka di sana pasti terdapat resapan unsur yang asing daripada tabiat dan akidahnya, dan unsur inilah yang membawa kepada bibit perpecahan tersebut.

Sebarang usaha yang berlawanan dengan tabiat orang beriman mengakibatkan rahmat Allah telah hilang dan tidak mungkin diperkenankan oleh Allah. Adalah suatu yang mustahil untuk orang beriman bekerjasama dalam perkara kejahatan apatah lagi menyuruh untuk berbuat kemungkaran.

Sebab itu Allah membezakan kesatuan golongan munafik dengan kesatuan orang beriman. Ia hanya bersatu di atas dasar yang rapuh dan mempunyai kepentingan tersendiri yang disembunyikan. Firman Allah Taala:

“Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.”

(At-Tawbah: 67)

Mungkin ia berhasil tetapi tidak dikira di sisi Allah.

“… Mereka yang demikian, rosak binasalah amal-amalnya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan merekalah orang-orang yang rugi.”

(At-Tawbah: 69)

Rujukan:
Tafsir Fi Zhilali Quran

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 28/2/2020

- Advertisement -