Bubar Parlimen solusi terbaik

- Advertisement -

PERKEMBANGAN terkini situasi politik negara membuktikan bahawa PAS bersikap matang dan terbuka untuk bersama mencari solusi bagi meleraikan kekusutan berdasarkan perlembagaan dan undang–undang negara.

- Advertisement -

PAS juga yakin bahawa dengan proses demokrasi yang diamalkan, ia mampu menyelesaikan sebarang permasalahan mahupun pertembungan politik yang berlaku yang sehingga kini menjejaskan keseluruhan landskap politik dan pentadbiran negara.

Menjunjung kasih dan setinggi -tinggi penghargaan kepada Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kerana berperanan penting dalam situasi kemelut politik yang berlaku saat ini.

Ia juga sekaligus membuktikan bahawa Institusi DiRaja dalam negara mempunyai peranan yang besar dalam mengimbangi kuasa politik dalam negara sekaligus berperanan penting dalam menetapkan halatuju negara.

Berdasarkan perkembangan terkini, PAS berpendapat bahawa jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut pertembungan kuasa politik dalam negara ialah dengan membubarkan parlimen dan menyerahkan kembali kuasa memilih pentadbir negara kepada rakyat.

PAS berpendapat bahawa rakyat yang paling berhak untuk menentukan masa depan negara kerana rakyat adalah golongan yang paling terkesan sekali dengan keadaan yang berlaku sekarang.

Perebutan kuasa yang berpunca dari pertikaian proses peralihan kuasa menyebabkan keadaan sekarang berlaku.

Politik kotor yang menyebabkan semua ini terjadi harus ditolak. Maka dengan itu, Anwar Ibrahim dilihat tidak layak memimpin negara. Rakyat sudah terlalu bosan dengan wayang politik yang berlaku dalam negara namun perubahan yang dijanjikan langsung tidak menjelma.

Malah Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim tidak mewakili suara majoriti Melayu Islam yang sedang bangkit menolak ketidakadilan. Maka dengan itu, Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan wajar ditolak.

Ketidaktentuan landskap politik dalam negara berpunca dari Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan.

Oleh itu, ianya tidak harus dibiarkan berpanjangan kerana berdasarkan keadaan semasa, ia mampu menjejaskan ekonomi, menghakis kepercayaan pelabur terhadap kestabilan politik negara, membebankan kehidupan rakyat dan mungkin mampu menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem politik mahupun pentadbiran negara.

Oleh itu membubarkan Parlimen adalah kaedah penyelesaian dan jalan terbaik untuk masa depan rakyat dan negara.

Oleh itu, sama – samalah kita berdoa agar diberikan kemudahan dan petunjuk oleh Allah SWT supaya masa depan kita lebih terjamin serta negara kita berada dalam keadaan aman dan sejahtera.

Semoga Allah SWT melindungi rakyat dan negara kita daripada anasir – anasir yang tidak baik yang mampu merosakkan kesejahteraan dan keharmonian negara serta dipermudahkan urusan segalanya untuk masa depan negara dan rakyat jelata.

Perkukuhkan Muafakat Nasional, Tolak Pakatan Harapan!

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
AJK PAS Pusat.
ADUN Batu Burok. – HARAKAHDAILY 28/2/2020

- Advertisement -