Umno keluar arahan siap siaga jentera pilihan raya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umno mengarahkan jentera pilihan rayanya di semua peringkat supaya bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya sekiranya Parlimen dibubarkan.

- Advertisement -

Menurut Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, keputusan tersebut selari dengan keputusan parti yang memohon Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen sebelum ini.

Jelasnya, adalah wajar bagi Umno untuk membuat persiapan ke arah itu walaupun setakat ini, belum ada keputusan muktamad yang dibuat mana-mana pihak mahupun Istana Negara.

Katanya, sebagai sebuah parti, kesiapsiagaan untuk pilihan raya adalah satu perkara yang mesti berjalan secara berterusan.

“Oleh kerana sudah ada perjumpaan pada hari ini, saya telah mengeluarkan satu pekeliling dan juga arahan berdasarkan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi dan juga presiden.

“Supaya Barisan Nasional dan Umno di seluruh negara mula bergerak bersama-sama dengan PAS melalui Mufakat Nasional untuk membuat persiapan-persiapan yang berkaitan dengan pilihan raya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas Umno di Putra World Trade Centre (PWTC), di sini, petang tadi.

Ujarnya, perjumpaan Ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno sebelum itu turut memberikan garis-garis panduan mengenai mekanisma kerjasama di antara PAS dan Umno.

Sebelum ini, PAS dan Umno telah sepakat memohon Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dan memberi semula mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Bagaimanapun, cadangan tersebut menerima tentangan beberapa pihak memandangkan banyak kos yang diperlukan untuk mengadakan semula pilihan raya. – HARAKAHDAILY 27/2/2020

- Advertisement -