UMMAH sedia berjumpa Tun Mahathir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bersedia memberikan pandangan kepada Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membuat keputusan terbaik demi rakyat dan negara.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata UMMAH hanya mewakili 650 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan tokoh pimpinan bersama rakyat sedia untuk bertemu dengan Tun Mahathir.

- Advertisement -

“Pertemuan ini dicadang segera sebelum sebarang keputusan menubuhkan kerajaan baharu mengambil kira pandangan daripada rakyat secara keseluruhannya.

“UMMAH berharap Tun Mahathir dapat meluangkan masa dan membuka ruang muzakarah yang luas bagi mencapai suatu keputusan yang terbaik untuk rakyat dan membina negara Malaysia yang lebih sejahtera,” kata Mohd Zai dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, UMMAH akan mempersembahkan memorandum ‘selamatkan Malaysia daripada kehancuran’ kepada pihak istana di Istana Negara, di sini pada esok (28 Februari) jam 9.30 pagi.

Penyerahan memorandum itu anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan NGO Bersekutu akan diketuai oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Haniff Omar.

Sementara itu, Majlis Raja-raja Melayu dijadualkan akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, sebelum solat Jumaat esok.

Difahamkan persidangan terbabit diadakan berhubung situasi politik terkini di negara ini.– HARAKAHDAILY 27/2/2020

- Advertisement -