Tuntut k’jaan tanpa DAP atau bubar Parlimen

- Advertisement -

PASCA Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), Malaysia dihidangkan dengan variasi isu sensitif yang mengancam keharmonian dan perpaduan negara. Sekalipun kerajaan sebelum ini tidaklah memerintah dengan begitu baik, namun kerajaan terdahulu menjunjung tinggi tonggak-tonggak utama negara seperti Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi, Institusi Diraja, Bahasa Kebangsaan dan beberapa perkara lain. Ironi dengan pentadbiran kerajaan, Pakatan Harapan (PH) sentiasa mencabar teras negara kita sepanjang pemerintahan PH selama 22 bulan ini.

GAMIS yakin dan percaya bahawa segala permasalahan dan perpecahan yang berlaku dalam pentadbiran di bawah naungan PH ini adalah bertitik tolak daripada kebiadaban DAP yang tidak menghormati parti komponen yang lain. GAMIS melihat tindakan DAP yang terus mencabar teras kenegaraan menjadikan PH terus bergolak sehingga ke kemuncaknya pada akhir-akhir ini.

- Advertisement -

Berdasarkan perkembangan politik semasa, cuaca politik negara bertambah getir dan hangat apabila adanya desas-desus berkaitan cubaan untuk menubuhkan ‘kerajaan pintu belakang’ dan proses negosiasi jahat dengan cubaan membeli integriti Ahli-ahli Parlimen dengan bayaran yang sangat tinggi. Perkara ini bukan sahaja bertentangan dengan pengamalan demokrasi negara kita malah ianya seakan-akan mengkhianati mandat yang rakyat berikan semasa Pilihan Raya Umum yang akan menyebabkan ‘political fatigue’ dalam kalangan rakyat Malaysia.

GAMIS mengikuti perutusan khas daripada Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkaitan cadangan beliau berkaitan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

GAMIS berpendapat ketiadaan saf pembangkang akan menjejaskan kestabilan kerajaan berikutan daripada tiadanya pihak yang akan menjadi semak dan imbang kepada setiap tindakan dan keputusan kerajaan.

GAMIS dengan keras dan lantang untuk tidak bersetuju dengan cadangan perpaduan ini jika selagi mana parti DAP Cauvinis ini berada dalam kerajaan. DAP ialah menjadi watak penting dan liabiliti utama kepada kerajaan parti subversif itu berada dalam kerajaan. Keberadaan mereka akan terus menggugat ketenteraman dan perpaduan negara. Ini dapat dibuktikan dengan beberapa buah Kerajaan Negeri yang terbentuk dengan kesepakatan bersama DAP kerap berlakunya kontroversi dan ketegangan melampau.

Berikutan daripada perkara di atas, GAMIS memohon agar Perdana Menteri Interim menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen Malaysia untuk rakyat sekali lagi memilih kerajaan yang lebih mantap mengemudi negara. Ia juga untuk kebaikan politik anak muda yang mula mengenepikan sebarang perkara berkaitan politik apabila mereka kecewa akan pentadbiran PH. Perkara ini lambat laun akan menjadi bom jangka kepada negara kita.

Sekiranya YDPA perkenan untuk membubarkan Parlimen, GAMIS yakin dan percaya bahawa mahasiswa dan anak muda bersedia untuk menjadi jentera kepada mana-mana parti politik yang tidak membuat koalasi dengan DAP dan akan turut membantu dalam menyebarluaskan agenda tolak DAP ke seluruh peringkat masyarakat.

Buat seluruh rakyat Malaysia, ayuh kita tumbangkan DAP daripada terus bertapa dalam tampuk kerajaan!

“Demi Islam, Mahasiswa Bangkit”

SAIFULLAH BAIDURI,
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2020 – HARAKAHDAILY 27/2/2020

- Advertisement -