Rumah dirobohkan dengan tangan sendiri

- Advertisement -

APA yang berlaku pada kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini ialah sebagaimana disifatkan oleh Allah dalam surah al-Hasyr ayat 2.

- Advertisement -

“Mereka merobohkan rumah-rumah mereka dengan tangan-tangan mereka dan tangan orang-orang beriman. Maka ambillah pengajaran wahai orang yang mempunyai pandangan jauh”
(al-Hasyr: 2)

Kabinet baharu boleh bertukar dengan sokongan Ahli-ahli Parlimen melebihi 112 kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri (PM). Ia adalah menurut undang-undang dan peraturan negara yang dibenarkan.

Itu yang dijangka berlaku apabila dirundingkan untuk BERSATU, pasukan Azmin, WARISAN, Umno dan PAS beserta GPS memberikan sokongan kepada Tun Mahathir untuk membentuk kabinet baharu.

Ia bagi menghalang bahaya dan kerakusan DAP khususnya terhadap kepentingan Melayu dan Islam. Kabinet baharu ini bertujuan menjaga kepentingan Melayu dan Islam yang menjadi teras bernegara. Di samping itu, membaiki kedudukan ekonomi dan pengurusan menteri-menteri yang tidak berketerampilan.

Namun, apa yang berlaku ialah Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM menyebabkan seluruh Kabinet gugur dan kejatuhan kerajaan PH beserta Tun Mahathir juga bukan lagi berkuasa. Hanya sebagai PM interim yang bertindak sementara menantikan PM baharu dilantik.

Fasa sekarang ialah istana bertindak untuk melihat siapakah yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen untuk menjadi PM. Lobi-melobi sedang berlaku. Anwar masih berhasrat menjadi PM. Inilah peluang beliau yang ada untuk menjadi PM.

Tun Mahathir mengharapkan sokongan kembali PAS dan Umno dengan alasan membentuk kerajaan perpaduan tanpa pembangkang tetapi dengan naratif melantik individu yang beliau rasakan sesuai sebagai menteri bukan dengan mandat parti masing-masing.

Ia ditolak oleh PAS dan Umno kerana kerajaan itu akan membawa DAP dan pasukan Anwar sekali, sesuatu yang tidak dapat diterima oleh PAS dan Umno. Tun Mahathir ingin kembali kepada asal berkuasa dengan dukungan ahli-ahli parlimen PH dengan tambahan PAS dan Umno, tetapi bersama DAP.

Sedari awal DAP ditolak oleh PAS dan Umno serta juga menjadi sebab kenapa PAS dan Umno bersetuju dengan pelan awal perubahan Kabinet iaitu tanpa DAP dan pasukan Anwar.

Sekiranya terbentuk kerajaan oleh Tun Mahathir, ia hanya mengulangi masalah yang berlaku dalam kerajaan PH sebelum ini kerana individunya adalah sama, daripada DAP dan PKR versi Anwar.

Rakyat telah bosan dengan kegagalan kerajaan PH yang telah jatuh. Ia kerajaan yang gagal dan rapuh hubungannya saling berusaha menjatuhkan antara satu sama lain.Dalam ketidaktentuan sebegini, pilihan terbaik untuk rakyat ialah pembubaran Parlimen.

Mandat diserahkan kembali kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu selepas melihat kerosakan dan kegagalan PH. Itulah yang dituntut oleh PAS dan Umno sekarang dan itulah yang dituntut oleh rakyat Malaysia hari ini berdasarkan pungutan suara di media sosial.

DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan dan Strategi PAS
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 27/2/2020

- Advertisement -