Nafi cadang Muhyiddin, kekal mohon bubar Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menafikan sama sekali laporan media bahawa semua Ahli Parlimen parti ini dan Umno telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) dengan menamakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan menyanggah laporan berita itu sebagai tidak benar sama sekali, bahkan menegaskan bahawa PAS dan Umno kekal dengan cadangan untuk Parlimen dibubarkan sebagai penyelesaian kemelut politik sedang berlaku ketika ini.

Portal berita The Star sebentar tadi telah melaporkan bahawa Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dikatakan membuat dakwaan tersebut, sedangkan tiada penyataan rasmi dikeluarkan setakat ini selain telah diumumkan kelmarin kepada media.

Tegas Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, sebarang kenyataan rasmi PAS hanya akan dikeluarkan daripada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan beliau selaku Setiausaha Agung secara bertulis kepada media dan umum.

Sementara itu, Dato’ Tuan Ibrahim menyatakan, laporan The Star berhubung SD itu tidak tepat sebagaimana yang dimaksudkan dan telah hubungi wartawan berkenaan bagi membetulkan kenyataan itu.

“Saya telah tegaskan bahawa PAS bersama Umno dalam Muafakat Nasional bahawa kami sepakat mencadangkan agar Parlimen dibubarkan. Rakyat perlu diberi mandat bagi memilih sebuah kerajaan yang baru.

“PAS menggesa seluruh jentera parti bersiap sedia di semua peringkat bagi menghadapi kemungkinan ini,” ujar Ahli Parlimen Kubang Krian itu.

PAS bersama Umno dan MCA serta wakil beberapa pihak telah menegaskan menolak pembentukan kerajaan baharu yang melibatkan DAP dan memohon Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dalam sidang media di PWTC kelmarin. – HARAKAHDAILY 27/2/2020

- Advertisement -