’16 September’ versi Tun Mahathir

- Advertisement -

PENDAHULUAN

- Advertisement -

Ahad lepas Tun Mahathir memulakan langkah bagi mengelakkan proses peralihan kuasa kepada DS Anwar Ibrahim. Tun dilihat ‘nekad’ bagi menjayakan rancangan tersebut, termasuklah membuat rundingan ‘rahsia’ dengan beberapa blok Pembangkang sehingga ke tahap sanggup menamatkan pemerintahan tidak sampai separuh sepenggal Kerajaan PH di peringkat Persekutuan.

Asas kepada perancangan itu ialah mengumpulkan sokongan majoriti Ahli Parlimen yang menyokong Tun untuk terus kekal menjadi PM, walaupun setelah beliau meninggalkan PH.

Intipati perancangan

Ia adalah sebuah rancangan dengan agenda menyelamatkan negara daripada ‘kepincangan’ pemerintahan PH yang sarat dengan pelbagai polemik yang menyentuh asas-asas pembentukan negara, kegagalan Menteri-menteri berfungsi dan pertelingkahan tajam politik dalaman sesama mereka.

Ia semakin membarah setiap hari sehingga ke tahap kesejahteraan rakyat dan negara semakin terabai dan kehilangan hala tuju. Paling meresahkan ialah polemik desakan ‘pelan peralihan kuasa PM’ kepada DS Anwar Ibrahim. Polemik yang menjadikan segala perancangan kerajaan sedia ada ‘hilang’ kewibawaannya dan politik negara tidak dilihat stabil.

Sokongan

Perancangan Tun mendapat sokongan padu daripada BERSATU, blok-blok pembangkang daripada Semenanjung, blok-blok politik daripada Borneo dan kem DS Azmin Ali yang ketika itu masih di dalam PH.

Bukan mudah mendapat konsensus seperti itu daripada pelbagai pihak yang mempunyai aliran dan pandangan yang berbeza dalam mengurus dan mentadbir negara. Banyak juga yang mereka tidak bersetuju dengan Tun dalam pelbagai isu. Namun mereka sepakat bahawa Kerajaan PH jika berterusan selama 3 tahun lagi tanpa ketegasan Tun, negara akan menuju ke arah ‘negara yang gagal’. Sama ada daripada aspek ekonomi, politik, sosial, pendidikan, perundangan atau juga hubungan antara kaum.

Kemelut di’sapa’ pihak Istana

Tun Mahathir telah menghadap dan merafak sembah kepada KDYMM SPB Yang DiPertuan Agung Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Syah bahawa PH telah kehilangan majoriti sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat. Walaupun begitu, Tun memaklumkan bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk terus kekal sebagai PM.

SPB Tuanku tidak mahu membuat keputusan yang tergesa-gesa tanpa membuat pemeriksaan yang lebih teliti. Baginda dilihat sangat mementingkan kewujudan sebuah kerajaan baru yang stabil, kuat dan tidak mudah tumbang kerana isu-isu yang kecil. Oleh itu, baginda mengambil beberapa langkah perlu bagi menjamin kepentingan rakyat jelata.

SPB Yang DiPertuan Agung kemudiannya berkenan menerima peletakan jawatan Tun sebagai PM ke-7 kerana PH telah pun terbukti kehilangan majoriti. Walaupun begitu, SPB Tuanku telah berkenan melantik Tun sebagai PM Interim sehinggalah baginda membuat pemeriksaan sendiri terhadap tahap sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Inilah peranan KDYMM SPB Yang DiPertuan Agung yang sering diperkecilkan oleh sebahagian netizen penyokong DAP di media sosial.

PH cuba ‘memancing’ Tun semula

Tempoh masa yang diambil oleh pihak Istana untuk menilai tahap sokongan ahli Parlimen kepada Tun Mahathir, telah diambil peluang dengan sekelip mata oleh DS Anwar Ibrahim dan PH.

Mereka memujuk Tun Mahathir untuk kekal sebagai PM yang mewakili PH. Setiap komponen PH menyatakan sokongan kepada Tun untuk kekal menjadi PM. Walaupun baru pada minggu lepas mereka mendesak Tun supaya menyegerakan pelan peralihan kuasa.

Tun Mahathir termakan ‘helah PH’

Tun Mahathir akhirnya termakan helah PH.

Beliau merasakan bahawa beliau diperlukan oleh semua pihak. Beliau mula terlupa perancangan asalnya. Beliau akhirnya memutuskan untuk menjadi PM kepada semua pihak berasaskan ‘Kerajaan Perpaduan’ berteraskan individu dan bukannya parti.

Lebih daripada itu, beliau pada saat yang kritikal ini memutuskan bahawa beliau tidak boleh berada dalam kerajaan campuran bersama Umno. Secara tidak langsungnya, beliau tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan DAP.

Tindak balas Muafakat Nasional

Muafakat Nasional tidak dapat menerima cadangan Tun Mahathir membentuk Kerajaan Perpaduan bersekali dengan DAP. Kerana mereka berpandangan DAP sepanjang berkuasa cuba meruntuhkan asas keharmonian negara, tidak menghormati Rukun Negara dan cuba mengangkat Komunis sebagai pejuang kemerdekaan negara. DAP sangat tidak sesuai untuk menjadi sebahagian daripada Anggota Eksekutif Kerajaan Malaysia.

Dengan itu, Tun Mahathir tidak lagi mendapat sokongan Muafakat Nasional.

Menangguk di air yang keruh

Apabila jelas Tun Mahathir kehilangan sokongan Muafakat Nasional, DS Anwar Ibrahim meminta Ahli-ahli Dewan Rakyat PH mencadangkan nama beliau sebagai PM ke-8.

Walaupun sehari sebelum itu DS Anwar dan PH dengan tegas menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Tun Mahathir sebagai PM ke-8.

Dua nama calon PM ke Istana

Calon PM yang sampai ke Istana pada awalnya hanyalah Tun Mahathir. Tetapi teknik licik PH, telah menjadikan Tun Mahathir tersasar daripada rancangan asalnya sehingga PH dapat mencadangkan juga nama  DS Anwar sebagai calon PM ke-8.

Ia berakhir dengan Tun kehilangan sokongan menjadi PM oleh sekutu-sekutu awalnya dan ditentang pula oleh PH yang mencadangkan calon mereka sendiri kepada pihak istana.

Jika DS Anwar Ibrahim dipilih menjadi PM oleh pihak Istana berdasarkan pemeriksaan yang dibuat oleh SPB YDP Agung sendiri, maka Tun Mahathir adalah pihak yang paling rugi.

Pelan peralihan kuasa bukan setakat tidak mampu dihalang oleh Tun, bahkan ia berjalan dengan jayanya hasil usaha dan kerja kuat oleh Tun sendiri.

Penutup

Kita semua mengharapkan kebijaksanaan pihak Istana menyelesaikan kemelut ini. Yang lebih kita suka ialah mandat diserahkan kembali kepada rakyat.

Namun jika Istana berpandangan melantik Tun Mahathir atau DS Anwar adalah langkah yang lebih baik, kita berharap kerajaan yang baru dibentuk nanti tidaklah seperti Kerajaan PH sebelum ini. Tidak menunaikan janji, sombong, pilih kasih dan serba tidak cekap.

Jika DS Anwar yang dipilih, walaupun kemungkinannya agak tipis, tentulah yang paling menderita ialah kem DS Azmin dan YB Zuraida. Dua orang kanan Tun Mahathir yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan  ’16 September versi Tun Mahathir’.

ZAKARIA ISMAIL
Marang, 27 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 27/2/2020

- Advertisement -