‘Harapan’ sudah berlalu, kini bina impian baharu

- Advertisement -

PUTRAJAYA adalah matlamat utama PH waktu itu. Tanpa peduli apa agenda utama DAP yang tersemat rapi. Atas nama PKR mereka bertarung menjatuhkan BN.

PAS dilihat mengambil langkah ke belakang apabila satu-satunya parti besar pembangkang tidak bergabung dengan blok pembangkang berlawanan dengan blok pembangkang ketika PRU14. Dalam erti kata lain PAS berseorangan menentang BN.

PH yang terdiri dari tiga gabungan parti pembangkang iaitu PKR, DAP, BERSATU dan PAN meraih majoriti mudah di Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Pakatan ini memenangi 113 kerusi diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 79 kerusi. PAS hanya menang 18 kerusi di seluruh negara dan beberapa parti lain.

- Advertisement -

PAS menjadi sasaran serangan kerana tidak bersama gabungan PH dan dilihat kempunan atau terlepas bersama-sama rakan pembangkang lain berarak ke Putrajaya, terutamanya dari rakan serpihan PAS iaitu PAN.

Diperlekeh, kerana mengekalkan prinsip redha Allah lebih penting dari kemenangan tanpa redha Allah. PAS cukup yakin kemenangan ini akan memberi masalah kepada Islam dan orang Melayu kerana DAP mempunyai agenda tersendiri. PAS tidak mahu terlibat dengan agenda jahat yang didukung oleh kuasa luar yang anti-Islam.

Pendirian yang diperli oleh PAN setiap masa apatah lagi waktu mereka baru melangkah ke Putrajaya dengan bergaya. Dengan beberapa Kementerian dianugerahkan kepada mereka.

PAS yang bertarung seorang diri, hanya mengendong 18 kerusi Parlimen dan memerintah dua negeri. Hampir menjadi kerajaan di Kedah.

Bermacam serangan dan tohmahan yang PAS terpaksa telan, baik semasa kempen PRU dan selepas PRU. King Maker yang disebut oleh Tuan Guru Presiden digelak sakan, tuduhan makan duit sogokan RM90 juta dari Umno dan bermacam tuduhan lagi.

PAS pada asalnya menjangkakan akan peroleh 40 kerusi Parlimen mengikut kaji selidik dalaman mereka, bila didedahkan, PAN terus menyerang kerana PAS bertanding hanya untuk menang 40 kerusi. Sedangkan semua parti bertanding memerlukan 112 kerusi untuk memerintah.

Di sinilah timbul PAS mengatakan tak apa, tak menang banyak, dengan jumlah itu PAS boleh menjadi King Maker kepada mana-mana kumpulan lain untuk membentuk kerajaan. Siang malam PAS dikecam.

Apabila PAS dilihat tidak berselera besar untuk capai kemenangan dan terus ke Putrajaya, PAS rela bersendirian daripada bergabung dengan DAP untuk ke Putrajaya dan yang penting bagi PAS mendapat redha Allah adalah lebih utama dari berkomplot dengan DAP ke Putrajaya.

Semua ini menjadi bahan gelak, perlian dan serangan PAN terhadap PAS yang dilihat terkebelakang sedangkan sudah lama berjuang dalam pilihan raya. PAN hanya kali pertama bertarung dan hanya menjadi balaci DAP tetapi melangkah bergaya ke Putrajaya bersama parti besar lain.

Kini, tidak sampai dua tahun, mereka hampir hilang segalanya. Kemuncak krisis dalaman PH pada 21 Februari 2020 mengubah segalanya. Nikmat berkerajaan yang dikecapi dan dimegah-megah oleh PAN hancur sekelip mata. Mereka terdiam, terduduk lemah longlai.

Mereka lupa semua tindak tanduk DAP dengan agenda kerakusan menceroboh hak orang Islam dan bangsa Melayu.

PKR pula dengan gelojohnya hendak menabalkan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 tanpa menunggu situasi negara berada dalam stabil. Terus menekan Mahathir agar transisi ini bersegera dilakukan.

Tanpa mengira semua permasalahan rakyat, janji manifesto pilihan raya, perasaan orang Islam, perasaan orang Melayu, persatuan pelampau Cina terus diberi ruang mengganas dan merobek hati-hati orang Melayu.

Semua ini disokong PAN, Menteri pelajaran dipecat kerana tulisan Jawi, Aset pencarum Tabung Haji dilambung atau dilelong di Pasar malam oleh taiko-taiko besar, pun mereka sokong, asal DAP buat semua tak apa.

Huru-hara negara dengan tindak-tanduk mereka. Rakyat bagai tidak sabar melihat kejatuhan mereka. Di sana setiap malam dan waktu, mereka menadah tangan mengadu kepada Allah, ini pun diperli mereka.

Dengan apa yang berlaku, maka boleh dikatakan mereka sudah hilang arah. Janji tinggal janji, Islam hanya tempelan hiasan bagi mereka, jauh sekali mencari redha Allah dalam setiap perkara, maka mereka sedang hadapi kesannya sekarang ini. Kuasa hilang sekelip mata.

Kedudukan, pangkat, darjat semua hilang. Sekarang baru mereka sedar, DAP yang gelojoh untuk laksana semua pelan mereka baru sedar, Malaysia ada kedaulatannya. Islam ada kedaulatannya, rakyat ada kedaulatannya.

Apa yang berlaku sekarang ini adalah natijah kealpaan mereka. Anwar yang tidak pernah serik dengan cita-citanya menyebabkan rakyat Malaysia terheret dengan krisis sekarang.

Semoga dengan apa yang sudah berlaku, penyatuan bangsa Melayu melalui Muafakat Nasional, kerjasama antara kaum yang saling hormat-menghormati hak kaum lain, kepelbagaian agama dan masyarakat majmuk, diambil kira dalam pembentukan, kerjasama baharu bagi membawa Malaysia ke arah kemakmuran dan mendapat redha Allah dalam pemerintahan.

Samalah kita doakan agar krisis yang berlaku sekarang ini reda, selesai dengan aman, dikembalikan kedaulatan Islam dalam negara kita yang kita cintai. Hak-hak kaum dan agama juga perlu kembali kepada kesepakatan yang sudah dipahat dalam Perlembagaan.

NARAZA MUDA – HARAKAHDAILY 25/2/2020

- Advertisement -