Tommy cabul kedaulatan perundangan negara

Tommy Thomas: Si pencabul kedaulatan perundangan negara
- Advertisement -

GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sekali lagi terkilan akan tindakan bacul Peguam Negara, Tommy Thomas atas tindakan beliau tempoh hari. Selaku pemain tertinggi perundangan negara, tindakan ini sudah terlalu melampau. GAMIS dari awal lagi mengikuti rapat setiap keputusan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara.

Sepanjang penelitian GAMIS dalam gerak kerja Tommy Thomas, ianya menyaksikan bahawa sistem perundangan negara telah dicabul oleh politikus Pakatan Harapan. Perkara tersebut dapat dibuktikan dengan tindakan rakus Peguam Negara yang menggugurkan 8 kes yang melibatkan politikus pakatan iaitu; 5 kes hasutan, 1 kes fitnah dan 2 kes keganasan (LTTE).

GAMIS konsisten dalam mengecam keras perilaku Tommy Thomas yang bukan sahaja gagal menegakkan keadilan ke atas punca kematian arwah Adib malah beliaulah yang mengganggu inkues kes tersebut. Selain itu, GAMIS juga terkilan dengan tindakan tidak bermaruah beliau yang turut serta dalam acara tarian yang memberikan implikasi buruk kepada sistem perundangan negara. Dalam masa yang sama mengutuk keras atas tindakan yang menggugurkan kes isyarat lucah peguam kontroversi, Siti Kasim.

- Advertisement -

Pada 21 Februari lepas, sekali lagi Peguam Negara yang bacul ini menjatuhkan integriti perundangan negara dengan tindakan dangkalnya menghentikan prosiding terhadap 12 tertuduh kes LTTE. Sumber daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan bahawa mereka mempunyai alasan yang kukuh mengenai penglibatan mereka dengan aktiviti keganasan. Malah, sumber risikan PDRM sendiri menyatakan wujudnya transaksi kewangan daripada mereka untuk membiayai aktiviti dan rekrut LTTE. KDN sudah pasti mempunyai bukti yang kukuh sehingga mereka masih mengekalkan LTTE sebagai pertubuhan pengganas. Mereka didedahkan dengan laporan-laporan dan hasil siasatan dari PDRM, sedangkan Peguam Negara tidak pernah didedahkan dengan laporan tersebut. Sudah pasti KDN lebih dipercayai daripada Peguam Negara! Tindakan Tommy Thomas ini seolah-olah menjelaskan yang Peguam Negara berpihak dan bersekongkol dengan pengganas.

GAMIS yakin selagi Tommy Thomas berada di posisi Peguam Negara, ianya lambat laun akan mencabut kepercayaan rakyat kepada sistem perundangan negara yang akan menjejaskan keharmonian negara.

GAMIS dengan lantang mendesak Tommy Thomas untuk meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara. Jika Tommy Thomas gagal untuk melepaskan jawatannya dan mengabaikan amaran ini, GAMIS tidak teragak-agak akan turun ke jalanan dalam mengembalikan kedaulatan Undang-undang Negara. GAMIS juga sentiasa terbuka dan menerima kepada mana-mana pertubuhan untuk bersama-sama GAMIS dalam memperjuangkan perkara ini. GAMIS juga berpendirian sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia turut sama dalam mendesak Tommy Thomas meletakkan jawatannya setelah begitu banyak kebobrokan dan pencabulan yang dilakukannya.

GAMIS juga menuntut supaya pihak kerajaan dan pihak berkaitan membuat tindakan berikut;

(i) Peguam Negara membatalkan arahan pengguguran kes ke atas 12 tertuduh LTTE atau berhadapan dengan cabaran di mahkamah.
(ii) Tan Sri Tommy Thomas dipecat daripada jawatan beliau sebagai Peguam Negara kerana menyalahgunakan kuasa beliau.
(iii) Tindakan segera diambil oleh kerajaan untuk membataskan kuasa mutlak yang dipunyai oleh Peguam Negara.

GAMIS percaya dengan kredibiliti dan integriti kerajaan dan pihak berkaitan akan mempertimbangkan dengan adil tuntutan yang dikemukakan oleh GAMIS ini.

“Demi Islam, Mahasiswa Bangkit”

SAIFULLAH BAIDURI
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2020 – HARAKAHDAILY 24/2/2020

- Advertisement -