JANGAN lupa selama 21 bulan Pakatan Harapan memerintah, perkara pertama yang mereka lakukan ialah mengkhianati janji terhadap rakyat.
Tidak ada usaha untuk mengurangkan bebanan rakyat, hutang negara terus meningkat, bantuan semakin disekat dan prestasi ekonomi hanya mencatat pertumbuhan 3.6 peratus pada Suku Keempat 2019, terburuk sepanjang satu dekad.
Meskipun GST dihapus, namun SST gagal menurunkan harga barang malah membuka peluang lebih besar kepada manipulasi cukai dalam pasaran gelap.
Ditambah lagi dengan levi pelepasan dan cukai digital yang terus memangsakan rakyat.
Rakyat menjangkakan Pakatan Harapan lebih telus dan berintegriti. Namun, kita tidak lupa bagaimana satu persatu kes rasuah dan salah guna kuasa didiamkan.
Malah terbukti, amalan korupsi yang dilakukan secara terang-terangan dalam kempen pilihan raya kecil dan prestasi hambar PH telah menatijahkan penolakan rakyat kepada PH.
Muafakat Nasional dimenangkan (landslide victory) dalam lima siri pilihan raya kecil terakhir untuk mengajar pengkhianatan yang dilakukan selama ini oleh PH. Bukan hanya pengundi Melayu terus menolak PH, tetapi pengundi Cina dan India juga.
Pakatan Harapan diberi mandat oleh rakyat untuk mengheret bekas Perdana Menteri ke muka pengadilan kerana 1MDB, SRC termasuk tuduhan membunuh model Mongolia.
Proses pengadilan telah dilakukan tetapi jangan lupa fitnah yang dilemparkan kepada PAS sebanyak RM90 juta tidak pernah dibuktikan. Mana cek yang dilaungkan oleh Anwar Ibrahim dulu?
Mengapa DAP dan PAN tidak serah bukti yang dikatakan PAS makan dedak Umno? Mana Rafizi Ramli strategis jadian yang fasih memfitnah PAS?
Malah, beberapa dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Lim Guan Eng, setiausaha politik Menteri Pertahanan dan Menteri Pertanian serta isu NAFAS dibiar sepi.
Pengkhianatan paling besar yang dilakukan oleh PH adalah sikap angkuh DAP yang didukung oleh PAN. Mereka berterusan membakar sentimen agama dan perkauman.
Tonggak negara digoyah seolah-olah orang Melayu tiada maruah. Sejak dari mula, institusi Raja dihina.
Bukan hanya institusi Raja malah Tuhan dan Nabi. Mereka sudah lupa dengan kontrak sosial yang dimeterai sehingga sanggup mempermainkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
JAKIM diminta tutup, undang-undang Syariah diperlekehkan dan hak istimewa Melayu dipertikaikan. Golongan LGBT disantuni, agenda liberal yang dijunjungi.
Tulisan jawi daripada enam muka surat hanya menjadi tiga. Itu pun mereka lawan tapi UEC yang bercanggah dengan Perlembagaan dan Akta Pendidikan diperjuang hingga akhir zaman.
Tidakkan kita juga lupa orang Islam dijadikan objek momokan DAP? Mereka menuduh muafakat parti politik yang dijalin atas nama Islam adalah usaha untuk menafikan hak masyarakat bukan Islam.
Mereka mendakwa muafakat tersebut adalah ‘perang’ ke atas bukan Islam. Kematian anggota bomba Almarhum Adib tidak dibela malah menuduh orang Islam yang mencetuskan rusuhan kuil.
Apa yang lebih mengguris hati, sewenang-wenangnya Peguam Negara melepaskan ADUN DAP dan lain-lain yang telah disiasat terkait dengan kumpulan pengganas LTTE. KDN pun hairan sikap Peguam Negara yang berlembut dengan LTTE.
Apa yang berlaku hari ini adalah dampak pengkhianatan PH terutamanya DAP ke atas masyarakat majoriti Muslim di Malaysia.
Dasar pecah perintah yang diamalkan kini semakin gagal apabila dua parti politik Melayu Islam bersatu dan mengukuhkan antara satu sama lain.
Setelah penyatuan ummah kembali ampuh mereka semakin ketakutan dan mencari jalan untuk memusnahkan.
Kini, antara Tun dan calon terdesak PM Ke-8 yang sentiasa berwirid menaiki takhta. Siapa terbukti mempunyai ramai majoriti ahli dewan?
Siapa peroleh kuasa majoriti, sila persembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong. Ia bukan kerajaan pintu belakang, ini adalah berperlembagaan. Ini lebih bermaruah daripada menongkat kuasa kepada DAP. – HARAKAHDAILY 24/2/2020