Peletakan jawatan Tun M buka pilihan baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR : Sejak jam 12 tengah hari kelmarin, pelbagai spekulasi disebarkan oleh netizen atau media tempatan.

- Advertisement -

Ada yang menyifatkan kabinet baharu bakal terbentuk, tidak kurang juga yang menyatakan mengenai pengumuman Dato’ Seri Azmin Ali keluar daripada PKR.

Namun segalanya terjawab sekitar jam 12 tengah hari hingga 2 petang ini dengan pertamanya pemecatan Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin daripada PKR.

Diikuti pengumuman peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya pengumuman Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan.

Ia menamatkan spekulasi, namun dalam masa sama mendedahkan pelbagai pilihan kepada dua pihak yang sedang mengumpul sokongan untuk membina kerajaan baharu atau gabungan baharu untuk menerajui Malaysia.

Ia sama ada pembentukan kabinet baharu dengan Perdana Menteri baharu ataupun Tun Dr Mahathir akan sekali lagi mengangkat sumpah selaku Perdana Menteri Malaysia kelapan dengan sokongan yang ada kepadanya dalam masa sama menafikan cita-cita Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk jadi Perdana Menteri kelapan.

Berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri itu juga, tidak ada siapa yang layak memangku dan kuasa sepenuhnya berada di tangan budi bicara Yang Di-Pertuan Agong. – HARAKAHDAILY 24/2/2020

- Advertisement -