Bolehkah bubar Parlimen tanpa diminta PM?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lebih berkenan supaya Parlimen dibubarkan bagi PRU baharu dilangsungkan adalah spekulasi yang sengaja ditiupkan.

- Advertisement -

Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan hal tersebut dilakukan oleh pihak yang cuba mengubat hati sedang lara mereka, sedangkan dakwaan tersebut boleh mencemarkan nama baik YDPA.

“Mengikut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, pembubaran Parlimen hanya boleh berlaku jika Perdana Menteri yang tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat meminta Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Pembubaran Parlimen tidak berbangkit dalam keadaan Perdana Menteri tidak berhadapan dengan masalah di dalam mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Mengikut Perkara 40 (1) dan Perkara 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan, pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat, dan, apabila dinasihati, hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

“Mengikut Perkara 43 (5) dan Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, pelantikan mana-mana Menteri boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan pelantikan mana-mana Menteri lain boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” petiknya.

Tetapi menurut Pensyarah Universiti Utara Malaysia itu, negara masih ada Perdana Menteri yang boleh menasihati YDPA di mana apabila dinasihati, hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Sementara itu menurut Pensyarah Pusat Polisi Perdana Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, Perkara 55 Perlembagaan memperuntukkan kuasa YDPA untuk membubarkan Parlimen.

“Perkara 40 (1) pula menyebut bahawa pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, YDPA hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri.

“Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan. Berdasarkan Perkara 55 dan Perkara 40,  kita dapat simpulkan bahawa YDPA hanya boleh membubarkan Parlimen setelah wujud permintaan dari Perdana Menteri yang mewakili Jemaah Menteri.

“Memang ada peruntukan budibicara YDPA dalam hal berkaitan pembubaran Parlimen. Tapi kita perlu lihat apa perkataan yang digunakan,” jelasnya merujuk Perkara 40(2) memperincikan budi bicara tersebut.

Iaitu jelasnya terdapat dua yakni melantik seorang Perdana Menteri; dan tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen di mana berbeza dari difahami sebagai untuk membubarkan Parlimen.

Oleh itu terangnya, Parlimen tidak boleh dibubarkan melainkan jika ada permintaan dari Perdana Menteri, atau kerana tamat tempoh tempoh Parlimen selama lima tahun. – HARAKAHDAILY 24/2/2020

- Advertisement -