Populis

- Advertisement -

BILA mana Presiden PAS mengubah sokongan, kerana alasan mudharat yang besar kepada agama, ada yang kata, asal dia sahaja, semua boleh, asal dia sahaja, sentiasa ada dalil. Dan bila ada mufti ubah sokongan, walaupun sangat lambat dan dah terlewat, kelihatannya OK sahaja bagi orang ramai. Tiada terlihat buruknya.

- Advertisement -

Andai tak mahu dikutuk, Presiden PAS boleh sahaja menukar status dia jadi agamawan selebriti. Jadi populis di mata manusia, ambil kesempatan menjadi popular dengan mengikut kehendak orang ramai terhadap sesuatu isu semasa. Tok Guru boleh mendiamkan sahaja daripada membuat komen-komen yang menentang arus, yang akan menyebabkan dia dikecam.

Namun setelah 40 tahun lebih bergelumang dalam kancah politik, sosok itu sentiasa menjadi buruan, cacian, hinaan, sasaran musuh-musuhnya. Tidak ketinggalan tembakan-tembakan jahat dari agamawan-agamawan yang menurut kehendak pemerintah, ikut menyerang beliau.

Tapi apa yang terjadi? Setelah lama beliau diserang, difitnah, dituduh, akhirnya semua itu didapati hanya fatamorgana sahaja. Sehingga kini, tiada satu pun pertuduhan itu mengenai dirinya. Setelah 40 tahun, tiada satu pun tuduhan yang betul, maka apa lagi bukti yang mahu ditunjukkan?

Kini beliau juga diterima oleh musuh-musuhnya sehinggakan Umno, melalui Presidennya telah memohon maaf atas kezaliman yang dilakukan mereka dahulu. Mereka sebenar-benarnya, tidak melihat sebarang kejahatan yang dilakukan oleh Presiden PAS. Yang ada hanyalah ‘kejahatan’ beliau kerana menentang Umno yang lari dari prinsip Islam dahulu. Alhamdulillah sekarang Umno duduk bersama PAS menentang PH.

Jika mahu terkenal di mata manusia, jangan dibicarakan soal nahi mungkar, bercakaplah hanya perkara amar makruf. Ingatlah ulamak merangkumi banyak bidang. Bidang politik paling sedikit diikuti. Dan kita bertuah mempunyai Presiden PAS yang alim dalam banyak bidang, lebih hebatnya dalam politik. Ketegasannya pernah diceritakan yang beliau tidak bersetuju dengan beberapa ulamak dunia begitu baik dengan kerajaan kerana takut terpengaruh apabila berfatwa.

Apapun, walau terlambat bagi sesetengah agamawan mahu memahami gerakan politik ini, ianya masih jauh lebih baik berbanding dengan sikap menyombong sesetengah agamawan yang lain, berpaling kerana merasakan dirinya hebat. Sanggup duduk bersama musuh atau juga jika tidak bersama musuh, masih mahu bersikap ke’aku’an kerana keegoan diri.

Terkadang saya berfikir, kita sering memuji Tok Kenali, Tok Ku Paloh, Tok Ku Pulau Manis, Tok Janggut dan ulamak-ulamak lain kerana kita tidak hidup sezaman dengan mereka. Kita kagum dengan pengorbanan mereka, perjuangan mereka. Tetapi jika kita hidup bersama mereka, adakah kita akan menjadi penyokong atau pembenci tegar mereka? Mungkin menjadi tali barut musuh atau pembantu mereka.

Ustaz Fadzil Noor, TG Nik Abdul Aziz, Dato’ Dr Haron Din, sentiasa dihina sewaktu hayatnya. Kemudian dipuji setelah ketiadaan mereka. Jadi eloklah kita melihat Presiden PAS dengan mata hati, agar kita bukan dikenang sebagai golongan pembenci ulamak, dengan kita sendiri diselubungi kejahilan yang amat pekat, ketika beliau masih hidup lagi ini.

PAS konsisten menolak Peguam Negara, sebelum beliau dilantik lagi sehingga sekarang. Mudharat yang sangat jelas, berjaya dihidu PAS, walaupun ada suara agamawan yang menyokong Peguam Negara ketika itu. Akibatnya kini, sama-sama ditanggung rakyat. Hatta penyokong PH pun mendiamkan diri dari memberi komen berkenaan isu ini sekarang. Mereka juga malu, tetapi merekalah yang mengundi PH.

MOHD NASIR ABDULLAH
23 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 23/2/2020

- Advertisement -