PM berkuasa rombak kabinet, cetus k’jaan baru

BERLAKU perpecahan dalam PH…itulah gambaran yang boleh dilihat dalaman PH yang tergambar sejak isu undi percaya dan undi tidak percaya dilontar Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang beberapa minggu lalu.

Advertisement

Malah kemudiannya ia disusuli dengan isu Kerajaan Pintu Belakang walaupun ia kemudian dinafikan pihak tertentu. Apapun istilahnya, rakyat harus memahami dan didedahkan perincian bagaimana tiga proses tadi melalui Perlembagaan Persekutuan mahupun undang-undang yang melibatkan prosedur samada di peringkat Parlimen mahupun peringkat lain.

Mengupas isu ini dari kacamata Undang-undang, Ketua Pengarang, WAN NORDIN WAN YAACOB bersama Wartawan, SYAHIRAH SALLEH pada 20 Februari lalu telah mendapatkan pandangan Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat, WAN ROHIMI WAN DAUD yang juga merupakan seorang Peguambela dan Peguamcara.

Assalamualaikum wbt saudara Wan Rohimi. Terima kasih kerana sudi diwawancara Harakah pada hari ini.

Baru-baru ini kita difahamkan PAS akan membawa Usul Undi Percaya ke Parlimen untuk menyokong pentadbiran Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, jadi saya minta Tuan kongsikan sedikit-sebanyak berkenaan Usul Undi Percaya dalam kerangka demokrasi undang-undang atau Perlembagaan Negara?

Undi Percaya ini tidak disebut dalam Perlembagaan, yang disebut dalam Perlembagaan adalah Undi Tidak Percaya, tetapi Undi Percaya adalah merupakan sebahagian daripada proses dalam kerangka demokrasi yang dibenarkan dan dalam konteks Malaysia, diperingkat Persekutuan, Undi Tidak Percaya tidak pernah berlaku.

Tetapi Undi Percaya, Vote Of Confidence (VOC) telah berlaku sekurang-kurangnya tiga kali. Kali pertama pada 1997, tak silap saya 19 November di Dewan Rakyat, masa itu kita berada di ambang serangan krisis ekonomi.

Serangan mata wang oleh George Soros dan ketika itu Tun Dr Mahathir terlalu lantang mengkritik pelobi-pelobi Yahudi dan beliau juga digelar sebagai anti semitic yang akhirnya menyebabkan pelobi-pelobi Yahudi di Amerika melalui 34 orang senator telah meluluskan usul untuk mendesak Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Dan pada masa itulah satu undi percaya dibawa ke Parlimen dan ironinya Undi Percaya ini dibawa oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI), sebagai Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu.

Ironinya lagi, Undi Percaya ini juga disokong oleh PAS melalui kenyataan-kenyataan Tuan Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan ketika itu yang meminta PAS dan seluruh ahli-ahli PAS menyokong Perdana Menteri sewaktu berhadapan dengan tekanan dari pelobi-pelobi Yahudi, itu kali pertama.

Tahun 2003, terdapat juga satu undi percaya yang dibawa untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dan kalau tak silap saya, sebelum daripada 1977, iaitu tahun 1976, ada satu Vote of Confidence (VOC) yang dibawa oleh senator daripada BN untuk menyokong kepimpinan Tun Hussien Onn.

Jadi, saya nak simpulkan bahawa VOC ini bukan sahaja amalan demokrasi di negara luar, bahkan dalam Malaysia sudah berlaku tiga ‘occasions’ seperti Undi Percaya dibentang dan dibawa untuk menyokong kepimpinan Tun Hussien On tadi, 1976.

Undi Percaya dibentang dan diluluskan oleh Parlimen, jadi secara asasnya Undi Percaya adalah sebahagian daripada proses demokrasi.

VOC adalah amalan yang biasa bila kita berada di ambang krisis yang memungkinkan runtuhnya kerajaan atau bertukarnya pemimpin utama, jadi akan ada VOC.


Apa yang akan berlaku sekiranya Undi Percaya tidak mendapat sokongan?

Undi Percaya dan Undi Tidak Percaya ini implikasi dia lebih kurang sama sahaja, bila kita bentangkan Undi Percaya, kalau katakanlah Undi Percaya itu gagal mendapat undi yang cukup, maknanya gagal untuk mendapat majoriti di Dewan Rakyat, mafhum mukhallafahnya, maksudnya yang bertentangan adalah Perdana Menteri sudah hilang majoriti (sokongan dalam Dewan Rakyat).

Dan sebaiknya bila hilang majoriti di Dewan Rakyat, beliau sepatutnya meletak jawatan ataupun menasihatkan Yang DIpertuan Agong untuk membubar Parlimen.

Jadi, kesannya lebih kurang sama, kalau Undi Percaya gagal, dia terjumlah kepada Undi Tidak Percaya. Tapi dari segi panas atau tidak sesebuah isu, kalau kita bentang Undi Tidak Percaya, panasnya, ‘temperature’ dia lain, dia lebih panas dan hangat, tapi kalau undi percaya ini nampak macam aman dan dingin.

Walhal dia mempunyai kesan yang lebih kurang samalah dalam konteks keyakinan kepada Perdana Menteri.


Dalam situasi hari ini, kalau kita tengok, senario yang sedang berlaku dalam Malaysia, keperluan mana yang lebih mendesak sebenarnya sebagai seorang pengamal undang-undang melihat, mana yang lebih utama?

Saya rasa begini sebab dalam konteks politik kita kebelakangan ini, inilah topik yang paling hangat, dia dah banyak pusingan yang berlalu, tetapi yang daripada awal bulan ini, maknanya (isu ini) dia bertali arus, hampir setiap hari isu ini dimainkan.

Iaitu desakan kepada Perdana Menteri untuk menyerahkan jawatan kepada DSAI. Seolah-olah ada sesuatu, bukan seolah-olah lagu, memang jelas kelihatan adanya satu gerakan mendesak Tun Dr Mahathir untuk berundur pada Mei, sedangkan Tun Dr Mahathir berulang kali membuat kenyataan dia hanya akan berundur selepas menyuarat Sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) bulan November.

Ada desakan itu dan DSAI kelihatan begitu ghairah bercakap di media dalam pelbagai forum bahawa seolah-olah jawatan Perdana Menteri ke-8 itu adalah milik dia.

Isu ini sebenarnya tidak baik untuk negara, sebab pelabur melihat negara kita berada di ambang yang tidak pasti. Pucuk pimpinan negara akan bertukar pada bila-bila masa dan kita tahu dalam konteks mana-mana negara pun apabila kepimpinan utama Perdana Menteri bertukar, kabinet akan bertukar, sudah tentu ‘major policies’ akan berubah.

Dan ini sangat-sangat menakutkan pelabur asing dengan sebab ketidaktentuan polisi yang akan memberi impak kepada pasaran saham.

Jadi dalam meneliti apa yang berlaku ini, PAS mengambil pendekatan yang sangat ‘smart’, dengan penuh bijaksana untuk membentangkan Usul Percaya ke Dewan rakyat.

Sebab kalau usul percaya ini diluluskan, apatah lagi dengan majoriti yang kita katalah 90 peratus orang (Ahli Parlimen) menyokong, maknanya meluluskan usul ‘VOC- in favour of serving the Prime Minister’, makna katanya Tun Mahathir selaku Perdana Menteri akan mendapat mandat yang besar dan dia diharapkan untuk meneruskan pemerintahan sehingga akhir penggal.

Jadi maknanya apa yang cuba dilakukan oleh PAS bukan satu benda yang sengaja atau gimik politik, tetapi untuk meletakkan noktah kepada iklim politik Malaysia yang tidak menentu dalam masa sebulan dua ini.


Kalau kita lihat dalam Undi Percaya, terdahulu sebelum ini, Presiden PAS ada menyebut tentang Usul Undi Tidak Percaya, diikuti dengan Usul Undi Percaya, dua isu ini kemudian datang isu ‘kerajaan pintu belakang’ (oleh pihak lain). Jadi dari sudut perkaitannya dan keabsahan ‘kerajaan pintu belakang’ ataupun sebenarnya istilahnya ‘kerajaan pintu belakang’ ini sebenarnya tidak wujud, atau ada istilah lain yang sepatutnya rakyat faham dalam konflik atau polemik isu ini?

Saya rasa istilah ‘pintu belakang’ ini, Presiden PAS sudah jawab di Kota Bharu dalam satu forum ataupun ceramah Pemetaan Baru Dunia dia yang dianjurkan di Kelantan.

Presiden PAS menyebut dengan jelas, bahawa istilah kerajaan ‘pintu belakang’ ini ialah satu–satunya jalan ‘pintu belakang’ ialah rampasan tentera.

Maknanya selain daripada rampasan kuasa di luar kerangka Perlembagaan, apa sahaja cara yang dibenarkan oleh proses demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan adalah bukan ‘pintu belakang’.

Maknanya menubuhkan kerajaan dalam konteks undang-undang ataupun Perlembagaan Malaysia terdapat beberapa pintu yang sah di sisi undang-undang.

Yang pintu depan itu adalah istilah apabila menang Pilihan Raya Umum (PRU) kemudian esok masuk pejabat.

Tetapi dalam proses itu, sebab kita kena faham, proses demokrasi berlaku lima tahun sekali, jadi ‘in between’ itu akan berlaku, mungkin masalah atau krisis yang akan menukar haluan atau komponen parti bagi pakatan-pakatan tertentu.

Jika percakaran atau pergeseran melibatkan benda yang serius dan besar, maka ‘re-allignment’ perlu dilakukan, maknanya ‘adjustment‘ parti ini, ‘adjust‘ dari sini ke sini, mungkin kalau cukup ahli ataupun ahli parlimen yang boleh mengubahkan komposisi kerajaan, maka satu kerajaan baharu perlu dibentuk.

PRU ke-14 yang baru, contoh yang paling terbaru, di Sabah, menang pilihan raya malam tersebut, Dato Musa Aman angkat sumpah jawatan, seminggu kemudian, Dato’ Seri Shafie Afdal diangkat menjadi Ketua Menteri akibat daripada lompat-melompat.

Dato’ Seri Mohd Shafie Afdal dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah dalam keadaan masa itu Musa Aman tidak meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri.

Itu cara yang dibenarkan undang-undang, kalau saya boleh bawa contoh, tak lama, pada 2009, berlaku di Perak. Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir di Perak, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak, dalam keadaan Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masih lagi menjadi Menteri Besar.

Tapi bukanlah bermakna tidak sah, tapi itulah saya nak tunjukkan bahawa inilah pintu-pintu yang dibenarkan oleh undang-undang, syarat dia satu sahaja, ‘as long as’ calon Perdana Menteri atau Ketua Menteri mempunyai ‘confidence of the majority’ iaitu pengaruh majoriti dalam dewan-dewan.


Boleh berlaku atau tidak dalam proses Undi Percaya atau Undi Tidak Percaya ini, dalam sesi parlimen yang sama, terbentuknya kerajaan lain dengan sesuatu polisi dimana mungkin sesuatu koalisi yang dapat megumpulkan sejumlah ahli parlimen untuk membentuk kerajaan yang sah?

Saya rasa memang boleh berlaku dan macam dalam konteks sekarang, kalau kita nak ukur dengan apa yang kita dengar diluar sana, dalam konteks sekarang, ‘rumours’ atau khabar-khabar angin itu bukan nak menukar kerajaan, khabar-khabar angin itu ialah untuk mengekalkan Perdana Menteri yang ada, jadi dia tidak mengubah kerajaan.

Perdana Menteri, apabila dia membuat ‘political re-allignment’ ataupun dia ‘adjust’ semula komponen parti yang memberi sumbangan kepada pengaruh majoriti di Dewan Rakyat, Perdana Menteri mempunyai ‘prerogative‘ untuk merombak kabinet, ada menteri yang dia boleh gugur, ada menteri yang dia boleh lantik baru berdasarkan kepentingan parti-parti baru yang menyokong pentadbirannya.

Jadi dalam konteks sekarang, ya! dia boleh berlaku.

Sekarang adalah, kalau kita ukur dari segi perbandingan apa yang berlaku, pertukaran kerajaan dalam sejarah negara kita, tanpa PRU, sekarang adalah jangkaan berlaku pertukaran kerajaan dengan cara yang paling sah di sisi undang-undang.

Sebab ia hanya melibatkan rombakan kabinet, tidak perlu Perdana Menteri baru, jadi rombakan kabinet pun bila-bila masa sahaja Perdana Menteri boleh nasihatkan Yang Di-Pertuan Agong untuk ‘drop’ menteri yang tidak disukai.


Maksudnya bukan istilah tukar kerajaan?

Bukan istilah penukaran kerajaan, dia ‘adjustment politic’, itu diluar daripada kerajaan. Cabinet Reshuffle, rombakan kabinet, teras kepada kerajaan baharu itu adalah rombakan kabinet, bukan kerajaan baharu.


Di luar sana mungkin ada yang belum tahu proses membawa usul ke Dewan Rakyat dan bagaimana proses undi itu akan menetapkan sesuatu keputusan, boleh jelaskan?

Secara mudahnya, dalam Parlimen dia ada peraturan-peraturan (Aturan Urusan Mesyuarat) yang mengawal selia untuk pembentangan usul, secara mudahnya penerangan ini, pertama sekali, kita perlu menghantar satu notis, maknanya Ahli Parlimen yang mahu membawa usul atau mahu membentang usul, perlu hantar satu notis kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memohon diberikan laluan untuk membentangkan sesuatu usul.

Namun di sini, ini ada masalah dengan Parlimen Malaysia, apabila seseorang ahli dewan meminta kebenaran speaker, speakar ada kuasa penuh untuk menerima ataupun menolak.

Jadi kalau Speakar tolak, maknanya Speaker boleh buat alasan benda itu tidak memerlukan ia disegerakan macam-macam alasan, itu hanyalah subjektif dan boleh diada-dadakan pun, jika Speaker menolak usul itu maka tidak adalah perbahasan.

Tapi kalau katakanlah Speaker mempunyai keberanian nak benarkan usul, maka ia akan dibentang oleh seorang pembentang, kemudian dia akan dibahaskan sama ada untuk menyokong ataupun menentang, kemudian akan ada pengundian.


Dalam kuasa yang ada pada Speaker, adakah seseorang ahli parlimen, atau majoriti ahli parlimen boleh mencabar keputusan yang telah dibuat oleh speaker?

Setakat ini tidak ada lagilah, kerana undang-undang di Malaysia mengiktiraf cabang-cabang stuktur negara. Stuktur negara ini dia ada tiga cabang, pertamanya, eksekutif. Eksekutif yang diketuai oleh Perdana Menteri dan barisan kabinet.

Kedua, kehakiman. Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim.

Ketiga, ‘perundangan’, Iaitu badan perundangan. Badan perundangan ini Parlimen, ketua dia adalah Speaker Dewan Rakyat, jadi apa-apa keputusan yang dibuat oleh speaker dalam ‘teritory‘ jajahan dia, Dewan Rakyat dan Yang Di-Pertua Dewan Negara, tidak boleh dicabar di mahkamah.

Jadi, setakat ini memang, apa pun keputusan dia, tidak boleh dicabar, untuk undang-undang ini begitu sifatnya untuk menjulang prinsip pemisahan antara tiga cabang kenegaraan.

Nota Pengarang : –

WAN ROHIMI WAN DAUD seorang Peguambela Dan Peguamcara berpengalaman selama hampir 20 tahun dalam bidang guaman dan turut mengendalikan firma guamannya, Wan Rohimi & Associates di Kota Bharu, Kelantan. Anak muda kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang ini pada masakini adalah tonggak perundangan PAS yang sentiasa mengendalikan kes-kes yang melibatkan parti dan kepimpinan PAS, dan merupakan antara arkitek utama dalam pengendalian Saman terhadap Sarawak Report di Mahkamah Tinggi Queensbench, London, United Kingdom.

  • HARAKAHDAILY 23/2/2020