Laksana POTA ke atas suspek LTTE

- Advertisement -

SAYA meneliti kenyataan Peguam Negara yang menggugurkan pertuduhan ke atas 12 suspek LTTE dengan alasan yang pada pandangan saya sangat lemah dan seolah-olah memperlekehkan kebolehan pihak PDRM.

- Advertisement -

Sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip ‘rule of law’, Peguam Negara sepatutnya bertindak memberikan keadilan melalui proses mahkamah dan bukannya berdasarkan budi bicaranya sendiri.

Ia memberikan persepsi salahguna kuasa apatah lagi Peguam Negara hari ini dilihat rapat dengan kepimpinan parti tertentu sebelum dilantik ke jawatan sekarang.

Walaupun Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih bertegas menolak permintaan Tommy Thomas bagi menilai semula kedudukan LTTE dalam senarai pengganas, ia sebenarnya masih kurang meyakinkan untuk rakyat merasa selamat di atas unsur keganasan di dalam negara.

Justeru itu, saya menggesa agar Kementerian Dalam Negeri menggunakan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang memberikan kuasa kepada Menteri KDN untuk menahan tanpa bicara semua suspek LTTE bagi tempoh 2 tahun atau sehingga pihak KDN berpuas hati terhadap ketidakbersalahan mereka.

Meski secara prinsip saya bersetuju bahawa keadilan perlu melalui proses mahkamah, tetapi penggunaan POTA 2015 adalah langkah akhir sekiranya proses memperoleh keadilan secara normal itu kini dimungkiri oleh sesetengah pihak.

Saya juga meminta jika tindakan tersebut diambil, maka kebajikan keluarga semua suspek hendaklah menjadi antara keutamaan kerajaan.

Saya mengingatkan kerajaan hari ini dan seluruh agensi di bawahnya bahawa keselamatan rakyat adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi dengan kepentingan politik parti tertentu

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu HARAKAHDAILY 23/2/2020

- Advertisement -