Siasat dakwaan Kristianisasi di Hospital Sg Buloh

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menggesa pihak berwajib melakukan siasatan segera terhadap penularan gambar yang menunjukkan usaha dakyah kristianisasi yang berlaku di Hospital Sungai Buloh bagi memastikan kesahihan serta mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung usaha dakyah kristianiasisi tersebut.

- Advertisement -

Dakyah kristianisasi tersebut adalah jelas bercanggah dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.”

Selangor salah satu dari 9 negeri yang meluluskan undang-undang untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam menerusi Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No. 1/1988).

Menerusi enakmen tersebut kesalahan menyebarkan dakyah apa jua agama selain Islam terhadap penganut Islam termaktub pada Seksyen 4 iaitu “Kesalahan memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang berugama Islam supaya mengubah keimanan.” Kesalahan sedemikian jika disabitkan boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

Usaha dakyah kristianiasi sebagai gambar yang ditularkan tersebut tidak hanya bercanggah dengan Perlembagaan dan juga peruntukan Enakmen di negeri Selangor bahkan ia secara langsung mencabar kuasa Sultan Selangor selaku Ketua Agama di negeri Selangor ini. Siasatan segera mesti dilakukan dan tindakan tegas menerusi perundangan yang telah diperuntukan mesti diambil agar usaha dakyah ini dapat dibendung dan dikawal pada masa akan datang.

DPPNS juga mengharapkan kerjasama orang ramai bagi memantau kegiatan usaha dakyah yang berlaku dalam negeri Selangor ini agar tidak menjadi kerosakan yang membarah ekoran kerosakan akidah yang boleh berlaku. Selain itu juga, penegasan berhubung isu akidah mesti disambut baik oleh semua pihak termasuk parti-parti politik yang lain demi memastikan keselamatan akidah umat Islam dan menjaga kesucian agama Islam selaku agama Persekutuan.

“Demi Islam”
“Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor – HARAKAHDAILY 22/2/2020

- Advertisement -