Pemuda PAS Selangor terus perkukuh jentera

- Advertisement -

SIJANGKANG: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) konsisten memastikan pentadbiran dan gerak kerja yang cemerlang berdasarkan capaian indeks prestasi utama (KPI) yang telah dirancang di awal sesi kenaikan 2019 lalu.

Susulan daripada itu, satu program Pemukiman Separa Penggal bagi menilai dan memperkukuhkan gerak kerja semasa telah diadakan bermula 21 hingga 22 Februari bertempat di Sijangkang, Kuala Langat.

Program tersebut melibatkan seluruh Exco DPPNS bersama Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan atau wakil masing-masing bagi tujuan membincangkan halatuju semasa dan penyelesaian permasalahan-permasalahan yang berlaku.

- Advertisement -

Selain itu, mengukur capaian yang telah diperolehi selama hampir 1 tahun pentadbiran baru Pemuda PAS di seluruh peringkat sama ada kawasan mahupun negeri.

Menurut, Ketua DPPNS, Ustaz Hanafi Zulkapli dalam ucapannya menyarankan agar setiap pemuda dapat mengambil posisi dan berperanan dengan baik sebagaimana yang telah ditetapkan oleh jemaah.

“Kita ibarat satu pasukan bola sepak yang menghimpunkan para pemain yang mahir di posisi yang tertentu. Setiap pemain berperanan di posisinya dengan matlamat yang sama.

“Walaupun berada pada posisi yang berbeza, namun tanggungjawab kita saling melengkapi antara satu sama lain”, ujar beliau dalam ucapan penutupan Program Pemukiman Pemuda Negeri Selangor, hari ini di sini.

Beliau juga menegaskan bahawa gabung jalin kepakaran yang ada dalam jentera pemuda PAS Selangor amat penting dengan adunan manhaj tarbiyah yang sama bagi terus memantapkan gerak kerja yang didasari 3 eleman utama iaitu tarbiyah, dakwah dan siyasah.

Menurutnya, menjadi keutamaan pemuda PAS negeri itu untuk memperlihatkan gerak kerja yang mantap dalam memimpin pelbagai isu yang berlaku sama ada di peringkat nasional serta negeri secara khusus.

Di saat pihak kerajaan PH yang hari ini semakin berkeceramuk dengan masalah dalaman melibatkan pertembungan komponen parti mereka dalam isu peralihan kuasa.

Justeru itu, katanya DPPNS mesti terus memperkukuhkan jentera bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan memantapkan kerja-kerja di lapangan bagi menyantuni rakyat.

Tambahnya lagi, DPPNS kini terus berusaha mengekalkan respon aktif terhadap isu-isu semasa yang berlaku di negara ini.

“Ia bagi mengangkat suara anak muda seperti isu pemandu mabuk yang mengakibatkan kemalangan di jalan raya, isu bantahan “pencabulan” ke atas Hutan Simpan di Kuala Langat serta yang terkini berhubung penularan gambar dakyah kristianisasi yang didakwa berlaku di Hospital Sungai Buloh,” ujarnya.– HARAKAHDAILY 22/2/2020

- Advertisement -