LTTE: Usaha keras PDRM dikhianati

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Keputusan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menarik balik pertuduhan terhadap 12 tertuduh yang disyaki dan dikaitkan dengan aktiviti pertubuhan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), disifatkan sebagai mengkhianati usaha Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan melepaskan suspek yang disyaki pengganas tanpa melalui proses perbicaraan di mahkamah adalah tidak wajar.

Bahkan, katanya tindakan Peguam Negara itu seolah-olah telah mengkhianati usaha keras pihak PDRM yang menyiasat serta mengumpul bahan bukti selama ini.

- Advertisement -

“Tersilap tahan suspek yang mencurigakan dan diberi ruang keadilan melalui proses mahkamah itu lebih selamat daripada bahaya yang ditimbulkan dari pembebasan suspek yang telah ditahan.

“Setelah siasatan yang begitu panjang dan pengumpulan bahan-bahan bukti yang kukuh oleh PDRM, tiba-tiba dilepaskan.

“Melepaskan tanpa melalui proses perbicaraan mahkamah yang sepatutnya seolah-olah mengkhianati usaha keras PDRM selama ini,” ujarnya kepada Harakah, hari ini.

Menurut Ahmad Amzad, menghentikan prosiding perbicaraan itu disifatkan tidak adil dan membahayakan masa depan negara.

Justeru, katanya dalam ilmu perakaunan ada yang disebut convention, ‘conservatism’ (konservatisme) atau doktrin keberhati-hatian.

“Dalam menguruskan keselamatan dalam negeri dan negara begitu juga, tindakan pencegahan penting dan jangan diberi ruang ancaman berputik dan menjadi subur,” tegasnya.

Sebelum ini, Tan Sri Thommy Thomas dalam satu kenyataannya tindakan menghentikan prosiding terhadap 12 tertuduh LTTE yang menghadapi 34 pertuduhan itu kerana tiada prospek jelas untuk sabitan kes.

Peguam Negara itu juga telah menggunakan kuasa budi bicaranya menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk memberhentikan prosiding-prosiding terhadap tertuduh berkuat kuasa serta merta.– HARAKAHDAILY 22/2/2020

- Advertisement -